Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan 10 ADUN Umno Terengganu marah kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said kerana didakwa antaranya meminggirkan mereka, termasuk tidak dilantik sebagai penyelaras DUN masing-masing.

Mereka juga kecewa kerana menteri besar tidak melantik mereka sebagai ahli jawatankuasa (AJK) Umno tambahan, apabila mereka kalah dalam pemilihan parti tahun lalu.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad yang turut menyokong tindakan ADUN 10 tersebut berkata, menteri besar juga tidak memberi kuasa kepada mereka untuk melantik ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di kawasan masing-masing.

Pelantikan JKKK kini diputuskan oleh ketua Umno bahagian selepas menerima cadangan dari Umno cawangan.

Kecuali Datuk Seri Idris Jusoh, katanya, sembilan lagi ADUN berkenaan, bukan ketua bahagian.

Nawi berkata, semua ini hanya dilaksanakan selepas Ahmad menjadi menteri besar.

"Kedudukan sekarang ialah yang menang dapat semua, yang kalah hilang semua.

Tidak dilantik penyelaras DUN

"Tindakan berkenaan dianggap oleh wakil rakyat berkenaan sebagai boleh melemahkan Umno negeri.

"Mereka berpendapat bagaimanakah boleh menguatkan Umno jika tidak diberi peranan sewajarnya dalam DUN masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nawi berkata demikian sebagai mengulas tindakan kumpulan tersebut yang memulaukan sidang DUN negeri, Selasa lalu.

Setiausaha kelab penyokong kerajaan Terengganu, Alias Abdullah yang juga ADUN Alor Limbat berkata, mereka mahu Ahmad digantikan dengan orang lain.

Menurut Nawi, adalah pelik mengapa ADUN tidak dilantik menjadi penyelaras DUN sedangkan mereka yang paling tahu di kawasan tersebut.

"Bagaimanakah mereka hendak menguatkan Umno jika tidak diberi peranan di DUN masing-masing," katanya.

Dalam satu perkembangan berkaitan, kedua-dua Idris dan Ahmad menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat turut sama dalam pertemuan tersebut.

ADS