mk-logo
Berita
Jika bertanding, Rohaizat dijangka calon BN di Penanti

Umno Pulau Pinang sudah mempunyai calon yang mampu memberi saingan sengit di kubu kuat PKR di Penanti, sekiranya BN memutuskan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil di situ pada 31 Mei depan.

Timbalan pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, calon Umno itu "muda, anak tempatan, disenangi pengundi tempatan dan menepati kehendak penduduk Penanti".

"Kalau bertanding, Umno tiada masalah calon untuk melawan calon PKR, Mansor Othman," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pilihanraya kecil Penanti diadakan ekoran penyandangnya dari PKR, Mohamad Fairus Khairuddin meletak jawatan pada 16 April lalu.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 23 Mei ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 31 Mei depan.

Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat Isnin ini untuk menentukan sama ada akan meletakkan calon atau tidak di Penanti.

Zainal bagaimanapun enggan memberitahu nama calon Umno berkenaan walaupun didesak berulang kali.

Rohaizat calon pilihan

Bagaimanapun, difahamkan Umno Permatang Pauh telah mengemukakan senarai calon kepada pucuk pimpinan, melalui Umno negeri, termasuk ketua bahagian, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid; timbalannya, Nasir Abdullah - kedua-duanya ahli perniagaan - dan setiausaha bahagian Rohaizat Osman, seorang peguam.

Sehingga ini, Malaysiakini difahamkan, Rohaizat adalah calon pilihan utama sekiranya BN jadi bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti.

Sementara itu, Zainal berkata, Umno Pulau Pinang telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pilihanraya kecil tersebut.

"Saya dan pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zahid Hamidi memberikan taklimat mengenai pandangan dari ketua-ketua cawangan Umno di Penanti kepada Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin dua minggu lalu," katanya.

Zainal berkata, jentera pilihnaraya Umno sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, jentera berkenaan adalah jentera yang menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos tahun lalu.

Dalam pilihanraya berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah dengan majoriti lebih 15,000 undi.

Menurut Zainal lagi, pemimpin-pemimpin Umno sudah mula turun ke Penanti sejak beberapa minggu lalu.

"Datuk Ahmad Zahid, saya, ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan ketua Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil sudah melawat penduduk Penanti," katanya.

Walaupun Penanti berada dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili PKR, katanya, kerajaan khususnya kementerian luar bandar memberi pelbagai bantuan kepada penduduk miskin.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS