Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Ulama mahu tiga jawatan teratas PAS

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 8.22pm Dewan Ulama PAS hari ini meluluskan usul supaya jawatan presiden, timbalan dan satu daripada tiga naib presiden parti itu diperuntukkan kepada golongan ulama dalam usaha memantapkan golongan itu yang kian dipertikaikan.

Usul Dewan Ulama Terengganu itu dibuat atas dasar ulama telah mempelopori penubuhan PAS dan menerajui kepemimpinan ulama sejak 27 tahun lalu - apabila era Datuk Asri Muda yang dianggap nasionalis ditumbangkan pada 1982.

"Ini bukan bermaksud hendak mengetepikan sumbangan yang diberikan oleh kepimpinan besar dalam jemaah yang bukan ulama, seperti aktivis.

"Tetapi jawatan presiden dan timbalan hanya satu sahaja. Dan satu daripada tiga tempat untuk naib. Perkara ini perlu dipertegaskan balik," kata pembentang usul Nik Masri Nik Malik.

Dalam sesi perbahasan ucapan dasar ketua dewan Datuk Mohamad Daud, perwakilan negeri itu membuat gesaan yang serupa dengan alasan dua jawatan teratas menganggotai badan berpengaruh besar dalam penggubalan dasar parti itu, Majlis Syura.

Saiful Bahari Mamat berkata, perkara itu mesti dipertegaskan kembali kerana ia digariskan dalam perlembagaan parti.

Sementara itu ketua baru Dewan Ulama, Datuk Harun Taib ketika ditemui selepas muktamar berkata, usul tersebut bukanlah satu keutamaan kepadanya, sebaliknya ingin meraih sokongan lebih besar buat PAS daripada pelbagai pihak.

"Saya tidak tumpu kepada usul itu, tetapi kerja yang lebih besar daripada itu bagi saya, (kita hendaklah) membesarkan lagi (sokongan kepada) PAS supaya mendapat sokongan masyarakat pada masa akan datang," katanya.

Ditanya sama ada usul tersebut boleh mempengaruhi keputusan pemilihan jawatan timbalan presiden esok, Harun berkata:

"Esok kita tunggu keputusan dulu. Usul itu di peringkat Dewan Ulama sahaja dan kita akan bawa kepada peringkat pusat. Di pusat sana, ada (jawatankuasa) penapis usul. (Ia) belum tentu diterima ataupun tidak."

Dalam pemilihan jawatan nombor dua, penyandangnya Nasharuddin Mat Isa akan ditentang oleh dua naib presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu – kedua-duanya bukan tokoh ulama.

Mohamad turut hadir hampir jam 5 petang di muktamar Dewan Ulama apabila persidangan tinggal kira-kira 30 minit sebelum tamat.

Daripada perbahasan para perwakilan hari ini, kelihatan seolah-olah wujud kegelisahan di kalangan anggota dewan itu terhadap kedudukan ulama dalam parti itu yang kuat dicabar aliran pro-Pakatan Rakyat atau "kumpulan Erdogan".

Rata-rata perwakilan Dewan Ulama rancak mengutarakan cadangan memantapkan lagi kepimpinan ulama.

Bagaimanapun, perwakilan Kedah melihat persoalan ini sedikit berbeza apabila mendakwa selama ini PAS "belum menegakkan kepimpinan ulama".

"Dewan Ulama dan Majlis Syura tidak lebih daripada penasihat (parti). Kita jangan ambil mudah menyimpulkan PAS mengamalkan kepimpinan ulama dengan menambah Majlis Syura di samping sayap lain yang sedia ada.

"Dengan gabungan sayap lama dan baru (Majlis Syura), ini bukan kepimpinan ulama. Ulama bukan sekadar penasihat, tetapi pembuat dasar.

"Sekarang ini pembuat dasar adalah jawatankuasa tertinggi parti," katanya sambil menyifatkan kepimpinan ulama kini "cuma simbol".

Perwakilan Pahang, Shukri Ahmad pula membangkitkan kualiti pemimpin ulama PAS yang baik sehingga mampu mengeluarkan ijtihad.

"Ramai boleh jadi ulama tetapi ijtihad itu sukar. Kita mesti fokus kepada pemimpinan ulama yang boleh sampai berijtihad. Oleh itu presiden dan timbalan presiden mesti sampai ke tahap itu," katanya.

Sementara perwakilan Johor, Salahudin Osman berhujah bahawa ulama juga profesional dalam parti itu.

"Takkan kerajaan bagi lesen profesional baru kita boleh dikatakan profesional. Ini keterlaluan!

"Ulama dengan ilmu yang ada tidak dianggap sebagai profesional. Habis, siapa lagi profesional?" katanya di hadapan kira-kira 200 perwakilan – kebanyakannya lelaki pertengahan umur.

Dewan Ulama PAS yang bersidang di auditorium Muzium Shah Alam tamat kira-kira jam 5:30 petang.

Mohamad, yang tidak mempertahankan jawatan ketua dewan itu, memulakan persidangan dengan ucapan dasarnya jam 9.45 pagi.