Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Tujuh siswa korban anti-ISA era tiga perdana menteri

ulasan Semalam satu lagi episod sedih demokrasi Malaysia.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati lima aktivis mahasiswa bersalah atas pertuduhan menyertai perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara, Jun 2001.

Rafzan Ramli, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Nik Norhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris didenda RM 3,900 setiap seorang atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

ISA 7 student acquited 220405 bothred Sementara dua lagi yang dituduh, Herman Shamsudeen yang kini aktif bersama Pemuda PAS dilepaskan, manakala seorang lagi Wan Sanusi Wan Mohd Noor tidak dapat dikesan sejak mereka dipanggil untuk membela diri.

Gerakan Reformasi susulan pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai 20 September 1998 menyebabkan politik negara bergolak.

Pergolakan ini, yang menyeret ribuan anak muda ke jalan-jalan raya, berterusan tanpa henti-henti walaupun selepas pilihanraya umum setahun kemudian.

Pada 2000, Gerakan Reformasi meneruskan kempen bantahannya - menjelang dan selepas Anwar didapati bersalah kes kedua pada Ogos tahun itu - sehingga pilihanraya DUN Lunas mencetuskan rasa gerun kepada BN dan kerajaan pada waktu itu.

Kerusi negeri itu yang selama ini dikuasai dengan selesa oleh BN berjaya dirampas oleh calon PKR (dulu dikenali Parti Keadilan Nasional) Saifuddin Nasution Ismail dalam persaingan penuh sengit dan drama.

Kemenangan itu membakar semangat Gerakan Reformasi dan penyokong pakatan pembangkang, dulu dikenali Barisan Alternatif, untuk mengasak perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga awal 2001 muncul pula isu rundingan tertutup antara PAS dan Umno.

Tidak mempedulikan agenda melaga-lagakan pembangkang melalui agenda muzakarah Umno-PAS, Gerakan Reformasi meneruskan perhimpunan besar pada 14 April, yang popular digelar "Gelita 14", ulang tahun kedua pemenjaraan Anwar.

Gelombang besar, sekali lagi

Namun bantahan itu tidak menjadi kenyataan apabila 10 orang aktivis utamanya, termasuk pemimpin Pemuda PKR, seperti seperti Saari Sungib, Ezam Mohd Noor, Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam, Tian Chua dan Raja Petra Kamaruddin ditahan bawah ISA.

Lalu ia mencetuskan gelombang besar, sekali lagi, untuk menentang ISA melalui Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) - gabungan puluhan NGO dan Barisan Alternatif - seperti yang dikenali sekarang. Sementara gerakan siswa pula menubuhkan cabang penentangannya sendiri melalui Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Perkumpulan pelajar kecil dan besar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Front Anak Muda Untuk Demokrasi (Fraksi), Universiti Bangsar Utama (UBU), Pergerakan Demokrasi pelajar dan Pemuda Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju (GMWM), Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Jawatankuasa Mahasiswa Mahasiswi (JKMM) menyertai GMMI.

Serentak dengan program penentangan GMI yang meluas di seluruh negara mulai April 2001, GMMI pula menganjurkan satu perhimpunan untuk membantah ISA.

Pada 8 Jun, sebaik sahaja selesai solat Jumaat, beberapa ratus pelajar dalam gabungan GMMI berhimpun secara aman di luar Masjid Negara sehinggalah polis bertindak menyuraikannya dan menahan tujuh orang mahasiswa. **

Tujuh pelajar itu, yang digelar "ISA 7", yang sedang menuntut di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara direman selama satu hari dan dibuang dari kampus masing-masing tidak berapa lama selepas itu.

ISA 7 student acquited 220405 musical Perbicaraan awal mendapati mereka semua tidak bersalah dan dibebaskan.

Namun Pejabat Peguam Negara tidak berpuas hati dengan keputusan itu - walaupun banyak kes perhimpunan haram era Reformasi tidak dilangsungkan atau dilepaskan (DNAA) setelah perbicaraan seketika - dan akhirnya berjaya memaksa ketujuh-tujuh aktivis ini dibicarakan sekali lagi.

Selepas genap lapan tahun, semalam 18 Jun 2009, mereka berlima yang sudah tidak lagi bergelar mahasiswa dan mungkin tidak lagi bergiat aktif dalam aktivisme politik didapati bersalah oleh mahkamah.

Semalam demokrasi Malaysia dirundung malang - membukti sejauh itu negara sanggup menindas anak muda yang tidak bersalah demi memadamkan (dengan harapan) api amarah kebangkitan rakyat.

Dalam tempoh lapan tahun itu, pelbagai onak dan duri ditempuh ketujuh-tujuh mahasiswa ini. Ada yang bekerja dan ada juga yang membuat perniagaan kecil-kecilan. Hanya Herman yang masih aktif berpolitik, bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Dulu masih bujang

Rafzan teman rapat penulis sejak mahasiswa. Kami bersama-sama aktif bersama UBU, sebuah kumpulan anak muda dan mahasiswa yang aktif dengan aktiviti kebajikan, kebudayaan, diskusi politik dan isu semasa.

Malah sewaktu beliau ditahan pada 8 Jun 2001, saya sedang berdiri di sebelahnya berunding dengan polis sebagai wakil GMMI.

Ketika ditangkap dahulu, beliau masih lagi bujang. Kini Rafzan telah mempunyai seorang anak. Dengan segala susah payahnya, beliau gigih berkempen isu “ISA 7” dan hak kebebasan mahasiswa ke seluruh negara.

Kesnya pernah juga dibawa ke Korea Selatan apabila Rafzan dijemput ke negara tersebut pada 2002 untuk mewakili UBU dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Pendedahan Rafzan mengenai kes “ISA 7” membuka mata masyarakat antarabangsa yang selama ini menganggap Malaysia sebuah "negara yang demokratik".

Teman-teman aktivis di peringkat antarabangsa bersimpati dengan nasibnya dan enam temannya. Ada sebuah kumpulan anak muda Poland pernah menawarkan Rafzan untuk menetap dan menyambung pengajiannya di negara mereka.

Namun Rafzan menolaknya kerana mahu bersama-sama enam orang teman "ISA 7" untuk melalui susah senang bersama.

Mahkamah semalam penuh sesak dengan penyokong-penyokong “ISA 7”.

ISA 7 student acquited 220405 hisham ezam and tian Cuma Badaruddin Ismail, atau lebih manja kami panggil Pak Din - aktivis ke-10 yang diseret ke lokap ISA pada 2001, yang kelihatan hadir bagi mewakili kumpulan tahanan ISA tahun itu yang diperjuangkan oleh “ISA 7” sehingga dibuang universiti.

Sembilan lagi dengan sejarah masing-masing. Ezam, Lokman dan Abdul Ghani Haron bersama Umno. Saari, yang meninggalkan PKR, kini ADUN parti Islam di Hulu Kelang.

Tian dan Gobalakrishnan kini di Dewan Rakyat, sementara Raja Petra pula menghilangkan diri bersama Malaysia Today ke luar negara. Hanya Hishamuddin yang masih kekal dalam dunia penulisannya.

Saksi mata, saksi mahkamah

Selepas saksi mata di medan demonstrasi, penulis sendiri disapina sebagai saksi mahkamah pula kepada Rafzan tahun ini kerana terdapat banyak foto melibatkan saya yang diberikan oleh polis kepada mahkamah sebagai bukti.

Dalam tempoh lapan tahun ini, sewaktu pakatan pembangkang merasai nikmat hasil kebangkitan rakyat sejak sedekad lalu, penulis terharu melihat kegigihan mereka yang masih bersama "ISA 7", khususnya peguam, yang tidak pernah berputus asa membantu walaupun khidmat mereka diberikan percuma.

Peguam-peguam tersebut: Nik Mohamed Ikhwan, Lathifah Koya, Zulkiflee Omar, Amer Hamzah dan Edmond Bon. Tanpa mereka, tidak mungkin "ISA 7" bersemangat lagi untuk mengharungi kegetiran diseret arus perjuangan.

Perbicaraan panjang ini bermula pada zaman Dr Mahathir. Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikannya, pada 22 April 2005, mahkamah majistret telah memutuskan ketujuh-tujuh mahasiswa tersebut tidak bersalah.

Semalam, ketika Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pucuk kepemimpinan negara, mahkamah menjatuhkan hukuman.

** Kebangkitan siswa bersama GMMI dipercayai menggerunkan pihak berkuasa apabila dua lagi pemimpin mahasiswa Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, aktivis UBU yang kini pemimpin Angkatan Muda PKR, dan pemimpin siswa UM Mohd Fuad Ikhwan diseret dalam lokap ISA tidak lama selepas demonstrasi di Masjid Negara.

Amin Iskandar, penulis blog dan penggiat budaya, kini memimpin NGO pemantau pilihanraya NIEI. Beliau menerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) sesi 2009-10 untuk menjalankan kajian sistem pilihanraya di Filipina dan Indonesia.