Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
H1N1 jangkitan sesama manusia, tiada kaitan babi
Diterbitkan:  Jul 8, 2009 2:58 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Jangkitan virus selesema babi berlaku antara manusia ke manusia sahaja dan orang ramai tidak berisiko untuk mendapat jangkitan jika menggunakan produk berasaskan babi.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa virus influenza A (H1N1) terhasil daripada proses mutasi antara gen virus influenza daripada babi, burung dan manusia.

Katanya, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 April lepas, jangkitan H1N1 merupakan virus baru dan berlaku

antara manusia ke manusia, lapor Bernama .

Tambahnya, justeru ia tiada kena-mengena dengan mereka yang

mengambil babi atau produk berasaskan babi untuk mendapat jangkitan virus berkenaan.

Menjawab soalan Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn, Rosnah dipetik berkata penternakan babi di ladang-ladang babi di negara ini berada dalam keadaan terkawal.

Bagi memastikan ladang-ladang babi di negara ini terkawal daripada selesema babi, kementerian dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPVM) melaporkan pemantauan virus selesema babi klasik dan influenza A H1N1 sedang dilaksanakan, katanya.

Tambahnya, sehingga kini sejumlah 17,459 spesimen dari 672 ladang babi seluruh negara diambil dan daripada jumlah itu, 191 spesimen di dapati positif bagi virus selesema babi klasik serta tiada spesimen positif bagi virus influenza A (H1N1).

"Selesema babi yang klasik tidak berlaku jangkitan kepada manusia sebaliknya berlaku di kalangan babi sahaja di mana berlaku gejala-gejala seperti selesema, batuk, keletihan dan kurang selera makan," Rosnah dipetik berkata.

Sebanyak 776 buah ladang penternakan babi terdapat di seluruh negara.

Rosnah juga dilaporkan berkata pemantauan terhadap ladang penternakan babi sentiasa dilakukan oleh JPVM bagi mengesan sebarang kejadian luar biasa dan sebarang maklumat mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada kementerian.

"Orang ramai tidak perlu berasa bimbang dengan pengambilan atau penggunaan babi serta tidak mengaitkan kejadian influenza A(H1N1) ini dengan amalan pengambilan makanan berasaskan babi," katanya.

ADS