Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 1pm Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 7 hingga 11 Disember depan untuk perbicaraan dua pelajar Universiti Malaya (UM) yang dituduh menconteng, menceroboh dan cubaan membakar di sebuah dewan Akademi Pengajian Islam (API), 24 Jun lalu.

Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini, 21, dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli, 21, dituduh mengikut Seksyan 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan bersama tiga pelajar lagi yang masih bebas.

Mereka didakwa cuba melakukan perbuatan khianat di pintu utama dewan fakulti itu kira-kira 4 pagi, 4 Jun lepas.

Kesemua mereka merupakan pelajar API. Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen adalah pelajar tahun dua jurusan Syariah.

Kes mereka disebut semula pagi ini, selepas dihadapkan di mahkamah sama pada 30 Jun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff bersetuju mengekalkan jaminan masing-masing RM5,000 ke atas Mohd Izzuddin dan Mohd Syahruldeen sehingga perbicaraan dijalankan.

Kedua-dua pelajar tersebut diwakili tiga peguam - Mohamad Arfizi Mohd Ramli, Ahmad Zamri Khuzaimi dan Saidatul Karimah Nasron.

Mahkamah mula mendengar kes itu pada 9.50 pagi dan berakhir kira-kira 30 minit kemudian.

Dalam sidang media kemudiannya, Mohamad Arfizi berkata, pendakwa memberitahu mahkamah, lapan saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.

Turut hadir di mahkamah ialah ibu bapa Mohd Izzuddin (foto atas, kanan) manakala Mohd Syahruldeen (kiri) pula ditemani ibu saudaranya.

Hadir sama memberi sokongan ialah Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Univerisiti Malaya (PMIUM) Mohd Aizat Mohd Saleh (foto, tengah) dan seorang exconya Aiman Omar.

rosmah mansor and universiti malaya Sumber polis memberitahu Malaysiakini , perkataan-perkataan yang diconteng dekat pintu masuk dewan kuliah utama API termasuklah "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" beberapa jam sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Kedua-duanya juga dituduh menyimbah petrol di permaidani merah yang bakal dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin.

Sebelum itu, Mohd Izzudin dan Mohd Syahruldeen dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menunggang motosikal bernombor pendaftaran yang sukar dilihat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat letak kereta di fakulti yang sama pada tarikh dan masa yang sama menurut Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan.

Bagi kes kesalahan trafik itu, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar pada 24-25 Jun 2010.

Sewaktu dituduh 30 Jun lalu, mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM500 tiap seorang.

ADS