mk-logo
Berita
Chua letak jawatan, tapi nafi akan sertai PKR
Diterbitkan:  Jul 16, 2009 3:12 AM
Dikemaskini: 5:10 PM

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng malam ini meletak jawatan sebagai Pengerusi MCA bahagian Bakri yang dipimpinnya sejak 1988 tetapi menolak desas desus yang mengatakan beliau akan keluar parti dan menyertai PKR.

Beliau menyerahkan tugas memimpin bahagian itu kepada timbalan pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

chua jui ming pc 130308 talk Chua sebaliknya meminta supaya semua anggota jawatankuasa MCA bahagian itu menyokong penuh kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat, lapor Bernama.

"Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA bahagian Bakri malam ini.

Katanya beliau sudah memaafkan mereka yang mencabarnya dalam pemilihan tahun lalu, dan kini beliau hanya mahukan mereka memandang ke hadapan, jangan saling bertelagah disebabkan perkara-perkara kecil.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan penyokongnya selama sejam di dewan bangunan ibu pejabat itu.

Bercakap mengenai masa depannya Chua berkata beliau akan meneruskan visi perjuangannya iaitu mahukan supaya kepimpinan kerajaan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membela rakyat semua kaum dalam negara.

Beliau berkata matlamat perjuangannya yang terkandung dalam manifesto semasa bertanding untuk jawatan presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008 lalu akan terus diperjuangkan sekalipun beliau tidak lagi memegang jawatan dalam parti.

"Saya percaya Malaysia boleh menjadi negara terkaya, lebih kaya daripada Singapura dan saya mahu kekayaan negara ini dikembalikan kepada rakyat semua kaum dalam negara," tambahnya.

Berjumpa penyokong

Menjawab soalan pemberita Chua berkata, desas desus kononya beliau menyertai pembangkang bukan kali pertama.

"Dalam pilihanraya umum lalu saya ditawarkan bertanding sebagai calon parti pembangkang, tetapi saya menolaknya," katanya.

Katanya dalam pertemuan dengan anggota jawatankuasa MCA bahagian, beliau meminta mereka supaya menyokong Tee Keat yang pernah dijemputnya dua kali datang ke bahagian Bakri sebelum ini.

"Dengan ini, saya sudah melakukan yang termampu untuk menyatukan kembali anggota parti," katanya katanya sambil menegaskan perletakkan jawatan beliau itu tidak bermakna beliau akan berdiam diri selepas ini.

Mengulas konsep 1Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini beliau berkata, kesannya masih belum nampak dan rakyat sedang menunggu sejauh mana pelaksanaannya.

"Saya tahu Datuk Seri Najib hendak buat 'reform' untuk membela rakyat semua kaum. Tapi kesannya masih belum nampak," katanya.

Dalam pemilihan MCA tahun lalu, Chua tewas kali kedua dalam cubaannya untuk merebut jawatan presiden parti selepas gagal pada kali pertama pada tahun 2005 lalu.

Beliau kemudiannya tidak dipilih sebagai calon BN untuk kawasan Parlimen Bakri pada pilihanraya umum lalu, dan kerusi parlimen yang sebelum ini disandangnya, kemudiannya jatuh kepada parti pembangkang.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini