Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis soal siasat 17 pegawai SPRM
Diterbitkan:  Jul 18, 2009 8:58 AM
Dikemaskini: Jul 20, 2009 3:21 AM

Polis telah mengambil kenyataan daripada 23 saksi, termasuk 17 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kematian Teoh Beng Hock - setiausaha politik exco kerajaan Selangor, yang ditemui mati Khamis lalu selepas memberi keterangan kepada SPRM.

NONE Teoh disoal siasat oleh SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri melibatkan ADUN dan exco Selangor.

"Ini hanya penemuan awal kami dan polis menyiasat kes ini secara menyeluruh daripada semua sudut," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini, lapor Bernama.

Khalid berkata polis juga menyiasat cara SPRM mengendalikan soal siasat dan turut mengambil rakaman kamera CCTV dari kawasan lif dan tempat letak kereta Plaza Masalam.

Bercakap kepada media di Kuala Langat, beliau berkata satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan akan mengendalikan siasatan kes kematian Teoh.

Sementara itu, Khalid berkata, keputusan awal laporan bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Teoh mendapati dia mati disebabkan pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari paras tinggi.

Bagaimanapun katanya, polis belum menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kematian Teoh yang merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Khalid berkata, dua ahli patologi, masing-masing seorang dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya mengendalikan bedah siasat mayat Teoh, dan menjelaskan bahawa kerajaan Selangor diberi pilihan untuk mendapatkan ahli patologinya sendiri tetapi tiada yang datang.

"Laporan awal bedah siasat dari ahli patologi menunjukkan Teoh setakat ini tidak mengalami kecederaan luaran. Bagaimanapun, kami akan tunggu laporan penuh daripada ahli patologi terbabit beberapa hari lagi. Buat masa ini, kematian Teoh disebabkan 'pelbagai kecederaan akibat jatuh dari paras yang tinggi'," katanya.

ADS