Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Minum arak: Model dihukum 6 sebatan
Diterbitkan:  Jul 20, 2009 7:38 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Seorang model pelancongan didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak.

Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dari Sungai Siput, Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun, jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating kira-kira pukul 11.40 malam pada 11 Julai tahun lepas, laporan Bernama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata mahkamah tidak ragu-ragu dalam menjatuhkan hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa di mahkamah itu pada 1 Disember tahun lepas.

Tertuduh yang dilihat mengalirkan air mata ketika penghakiman dibacakan kemudian memohon penangguhan hukuman untuk rayuan melalui peguamnya, Mohd Zuki Che Mat Ghani.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Syarie, Saiful Idham Sahimi.

ADS