BERITA

GMI seru Pewaris 'guna laluan lain'

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Jul 2009, 7:27 pagi

Kumpulan pendukung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digesa menggunakan laluan berbeza untuk mengadakan demonstrasi bagi mengelakkan sebarang pertembungan antara penunjuk perasaan membantah akta itu, 1 Ogos nanti.

"Dalam konteks sekarang, sama laluan mungkin ada isyarat tertentu dan mungkin mengakibatkan pertembungan," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh kepada Malaysiakini .

"Kalau boleh elakkanlah, tukarlah ke laluan lain atau tarikh yang lain."

Ditanya sama ada GMI akan mengubah rancangan mereka ekoran keputusan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) itu, Syed Ibrahim berkata:

"Kita sudah rancang awal, takkan kita hendak ubah (tarikh dan tempat). Memanglah dari segi jumlah, kita lebih besar. Kita tidak hairan sangat (dengan pertembungan).

"Tetapi atas dasar tanggungjawab, kita nak lihat juga aspek keselamatan dan tidak menimbulkan masalah."

Pewaris dengan sokong 10 lagi NGO Melayu menganjurkan demonstrasi bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di Pasar Seni mulai 11.30 pagi sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada jam 1 tengah hari.

Kira-kira 3,000 penyokong ISA kemudian akan berarak ke Istana Negara selepas menurunkan tandatangan di kain rentang sepanjang 200 kaki di dataran itu.

Sementara GMI pula merancang berkumpul di tiga lokasi - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan KL Sentral - mulai 2 petang sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengakui mengetahui rancangan Pewaris semalam, Syed Ibrahim berkata, GMI akan membawa perkara itu dalam mesyuarat jawatankuasa pelaksana Himpunan MANSUH, esok.

Demonstrasi anjurannya menuntut tiga perkara: hapuskan ISA, bebaskan tahanan dan tutup kem Kamunting di Taiping.

Diminta mengulas kenyataan Pewaris bahawa tarikh yang dipilihnya secara "kebetulan sahaja", Syed Ibrahim berkata dakwaan "itu antara dia dengan Tuhan."

GMI akan mengutus surat maklumat kepada istana berhubung hasrat mereka mahu mengutus memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.