Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M ragui keikhlasan PAS untuk kerjasama
Diterbitkan:  Jul 27, 2009 2:11 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat sebagai tidak ikhlas dan bermotifkan politik.

Katanya, ini kerana pemimpin mereka hanya berusaha untuk memperkukuhkan PAS dan bukan memantapkan BN.

"Saya tahu kerana saya sudah melalui pengalaman ini. Dalam skim Felda kita masukkan orang Umno, dan selepas pemimpin PAS (allahyarham Tan Sri Asri Muda) jadi menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Felda, semua orang Felda cenderung menentang kita.

"Sebabnya mereka kempen untuk PAS dan bukan untuk kerajaan," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri sesi hari pertama Dialog Perkongsian Pintar di Munyonyo, Uganda, lapor Bernama.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS untuk berbaik-baik dengan kerajaan pusat dan melupakan sengketa politik demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

bukit selambau pas pkr anwar nik aziz ceramah 040409 09 Nik Aziz ( kanan ) berharap perselisihan pendapat yang timbul dalam kalangan pemimpin politik terutama antara Umno dan PAS sewaktu kempen pilihanraya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Manik Urai baru-baru ini, dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.

Dr Mahathir mahu Umno berhati-hati menerima kerjasama itu bagi mengelak daripada terjerat permainan politik PAS.

"Yang pertama, PAS mahu kerjasama dengan siapa? Kalau mahu kerjasama dengan BN, masuk dalam BNlah. Kalau mahu kerjasama dengan Umno, itu sudah 'racist party' seperti yang didakwa pihak tertentu, jadi saya khuatir dengan niat mereka," katanya.

Mengenai penyertaan beberapa pemimpin parti komponen BN termasuk terbaru bekas naib presiden MIC Datuk S.S. Subramaniam ke dalam PKR, Dr Mahathir berkata tindakan itu sedikit sebanyak memberi kesan yang tidak baik kepada BN.

"Tidak banyak orang Umno yang menyertai PKR. Sebelum ini, saya pun berhenti

menjadi ahli Umno tetapi saya tidak menyertai parti lain.

"Namun kita lihat banyak pemimpin parti komponen BN, yang dilayan secukupnya, masih tidak berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi," katanya.

Dr Mahathir berkata penyelesaian terbaik untuk menangani kemelut itu ialah dengan mewujudkan kerajaan yang baik yang disokong oleh rakyat.

ADS