Nik Aziz nafi hulur salam perpaduan Umno-PAS

   

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menafikan bahawa beliau ada menyebut mengenai soal perpaduan antara Umno dan PAS.

Dalam kenyataan rasminya kepada TVPAS pagi ini, beliau yang juga menteri besar Kelantan, menafikan perkara itu.

Malah, Nik Azia mencabar media massa supaya buktikan dengan rakaman video atau audio bahawa beliau menyebut soal perpaduan dan beliau menghulurkan salam perpaduan Umno-PAS.

"Umno ni dah jadi macam cerita Laila Majnun' kata Tok Guru dipejabatnya sambil mengibaratkan ia menunjukan sikap 'desperado' Umno 'yang gilakan PAS'.

"Saya bercakap pasal kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri seperti semangat federalisme bukan pasal antara parti," kata Nik Aziz lagi.

"Yang duduk cakap pasal parti ialah (Dato') Mustapha Mohamed," kata Nik Aziz sambil merujuk kepada sidang media selepas majlis pelancaran Fiesta Kelantan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, jumaat lalu.

Oleh itu, hari ini Nik Aziz hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan media massa.

Sementara itu, ketika bercakap kepada media di Kota Bharu hari ini, beliau berkata, PAS tidak bercadang mengadakan hubungan peringkat 'parti dengan parti' sebagaimana di zaman Tun Abdul Razak "kerana kesan daripada hubungan itu masih terasa".

Laporan media

Sabtu lalu, pihak melaporkan bahawa Nik Abdul Aziz menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri di bawah PAS dengan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.

Sehubungan itu, laporan tersebut memetik menteri besar Kelantan itu berkata, beliau menyambut baik usaha kerajaan pusat yang akan mengadakan usahasama untuk menganjurkan Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Manakala Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dilaporkan menyambut baik kenyataan Nik Aziz itu.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat ini.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini Muhyiddin telah memutarbelitkan kenyataan Nik Aziz berhubung kesediaannya melupakan sengketa dengan kerajaan pusat.

"Muhyiddin jangan putar belit. Yang tuan guru maksudkan, isu kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, bukan hubungan Umno-PAS.

"Yang dia hendak bawa dalam (mesyuarat) Majlis Tertinggi Umno apa perlunya?" soal Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Sebelum ini, isu kerajaan perpaduan antara PAS-UMNO menjadi isu panas dalam PAS serta di kalangan anggota Pakatan Rakyat.

Nik Aziz adalah antara pemimpin PAS yang menentang keras cadangan tersebut sehingga beliau menggesa Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, yang menyokong cadangan tersebut, supaya melepaskan jawatan dalam parti dan selaku ahli Parlimen Bachok.

Bagaimanapun, cadangan tersebut telah ditolak dalam mesyuarat kepimpinan Pakatan.

Malaysiakini
terkini untuk anda