BERITA

MTUC: Kenapa rakyat demo di jalan?

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Ogs 2009, 7:59 pagi

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan memang menjadi hak orang ramai turun berhimpun di jalan raya apabila memorandum bantahan mereka tidak dilayan oleh kerajaan.

Mengulas reaksi pemimpin kerajaan terhadap perhimpunan besar membantah akta ISA hujung minggu lalu, setiausaha agung MTUC G Rajasekaran berkata kerajaan wajib menjaga ketenteraman awam tetapi tidak boleh menafikan hak orang ramai berhimpun dan berarak.

"Tiada alasan kerajaan menggunakan kekasaran melampau terhadap peserta perhimpunan aman," katanya dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan sebab ramai orang menyertai perhimpunan 1 Ogos lalu.

"Seluruh dunia menyaksikan perarakan pada Sabtu lalu bagi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sentiasa tertib dan aman sehingga polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air."

Kekerasan yang tidak diperlukan, katanya, telah digunakan untuk mengganggu perarakan aman oleh rakyat yang tujuannya hanyalah untuk menyerah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, mengenai kebimbangan mereka terhadap penggunaan akta ISA, dengan lebih 500 orang, termasuk juvena, telah ditahan.

Rajasekaran berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti menerima hakikat bahawa badan-badan sivil, telah memberi alasan dan sebab mereka membantah ISA.

"Sejak 50 tahun lalu, siri forum dan perhimpunan telah membahaskan penyalahgunaan ISA, tetapi malangnya tiada sebarang perubahan yang berlaku.

"Begitu juga hakikat bahawa kerajaan sentiasa tidak memperdulikan memorandum dan cadangan yang dikemukakan oleh badan-badan sivil," katanya sambil menambah, contoh terbaik ialah sikap dan pendekatan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, sejak memegang jawatan perdana menteri mulai 31 Oktober 2003, Abdullah telah meminggirkan MTUC dan tidak memperdulikan keperluan tujuh juta pekerja sektor swasta.

"Sepanjang menjadi perdana menteri selama lima tahun lima bulan, beliau tidak pernah menemui para pemimpin MTUC; beliau tidak memperdulikan peringatan yang diberi berulangkali.

"Sejak November 2003, MTUC menyerahkan empat memorandum, iaitu mengenai:

bullet button Penswastaan pengagihan bekalan air pada 24 Januari 2006;

bullet button Impak kenaikan harga produk Petroleum pada 27 Mac 2006;

bullet button Gaji minimum pada 18 Jun 2007; dan

bullet button Perundangan Buruh yang mengongkong pada 5 Mei 2008.

Rajasekaran berkata, walaupun MTUC mengakui bahawa adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memulihara ketenteraman awam tetapi "ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengharamkan perhimpunan dan perarakan aman apabila semua usaha menemui kegagalan."

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.