Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Tiong: Saya bukan mesin ATM BN

Salhan K Ahmad

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dikenali sebagai ‘Mesin ATM BN' kerana reputasinya yang dikenali amat murah hati untuk memberi bantuan kepada rakan-rakannya dalam BN.

Minggu lalu, pengerusi Jawatankuasa Penyokong Kerajaan (BBC) itu membuat pendedahan menggemparkan apabila mendakwa menyumbang RM10 juta kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk membiayai aktiviti parti tersebut.

NONE Ong bagaimanapun menafikan dakwaan Tiong dan membuat laporan polis mengenainya minggu lalu. Beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang Tiong.

Apabila dikecam oleh Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, Tiong yang juga bendahara Parti Demokratik Progresif Sarawak(SPDP) mendakwa Chew juga turut menerima sumbangan daripadanya.

Semalam, Tiong mendedahkan kepada pihak media bahawa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kolej KTAR milik MCA di Penampang, Sabah.

Bagaimanapun, ketika ditemubual oleh Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya kelmarin, Tiong menolak tanggapan tersebut bahawa beliau menjadi ‘mesin ATM BN"..

"Jangan cakap macam tu... kamu tahu tak berapa banyak sekolah Cina yang saya bantu? Mesin ATM apa?" kata Tiong.

Tiong berkata, sumbangan itu dibuat atas dasar solidariti bagi membantu komuniti Cina dan beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan.

"Saya mahu lihat parti-parti Cina supaya kuat dan bersatu supaya kita dapat turun ke bawah untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Jelasnya lagi, sumbangan beliau bukan hanya terhad kepada parti Cina sahaja.

NONE "Berapa banyak biasiswa sudah saya beri kepada pelajar? Berapa banyak orang yang sudah saya bantu? Awak boleh tanya Vicky (bekas ketua pemuda MIC kebangsaan S.A.Vikneswaran) Tanya dia adakah saya ada beri sokongan kepada dia? Dia pun sudah tidak ada (jawatan) sekarang."

(Ketika dihubungi kemudiannya, Vigneswaran berkata Tiong telah menyumbang RM1 juta kepada Universiti AIMST milik MIC beberapa tahun lalu. Beliau juga telah menyumbang kepada beberapa buah kuil).

"Adakah dengan memberi sumbangan, saya ini meminta ijazah kedoktoran (daripada Universiti Tunku Abdul Rahman?," soal Tiong lagi.

NONE Jelasnya lagi, sumbangan tersebut adalah untuk mengekalkan kerjasama di antara parti komponen BN dan juga untuk meraih sokongan daripada pengundi.

"Ini penting untuk kekalkan kekuatan BN. Tidak ada maknanya jika kita kuat di Sabah dan Sarawak tapi yang lain tidak boleh mengekalkan (kekuatan) di Semenanjung.

"Kita mesti tunjukkan kepada rakyat bahawa kita sudah berubah, bukannya hanya tahu bercakap, mengorek isu-isu, dan menggorengnya di media untuk mendapat kepentingan politik seperti parti pembangkang. Itu salah," katanya lagi.

"Kalaulah kami terlebih membuat tuntutan sekalipun, ianya boleh ‘di-adjust-kan' pada panel terakhir. Jadi apakah isu sebenarnya?," katanya merujuk kepada siasatan ke atas PKFZ.

Q & A wawancara dengan Tiong