Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Lunas gugur, Kulim exco baru
Diterbitkan:  Aug 26, 2009 4:34 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Sultan Kedah memperkenankan ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas Ahad lalu, digugurkan daripada jawatan exco Kedah, berkuatkuasa semalam dan digantikan oleh ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee.

Titah perkenan Sultan Kedah itu juga diterima semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di Alor Star hari ini.

Ahad lalu, Mohd Radzhi yang juga exco pelancongan, pembangunan masyarakat dan sumber manusia, mengumumkan keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Sementara itu, Azizan berkata majlis angkat sumpah pelantikan Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan exco yang kosong itu, akan diadakan minggu depan.

"Majlis angkat sumpah akan dilakukan minggu depan kerana ramai pegawai-pegawai masih berada di luar negara dan kita kena tengok masa Tuanku," katanya.

Pada 24 Ogos, Azizan menyembahkan surat kepada Sultan Kedah bagi memohon perkenan baginda supaya perkhidmatan Mohd Radzhi ditamatkan dan digantikan dengan orang lain.

Azizan berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sama ada akan melakukan penambahan atau perubahan portfolio exco berkenaan.

"Buat sementara, saya akan pegang portfolio itu (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia), sebelum majlis angkat sumpah.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata pemilihan Lim untuk menggantikan Mohd Radzhi dibuat selepas mencapai persetujuan hasil perbincangan antara Menteri Besar dan Penasihat parti itu.

Katanya, pemilihan Lim juga mengambil kira faktor geografi kedudukan Lunas yang terletak berhampiran dengan Kulim.

Lim sedia terima

Sementara itu, Lim menyambut baik serta bersedia untuk menerima pelantikan sebagai Exco kerajaan negeri, walaupun tidak mempunyai pengalaman memegang jawatan penting seumpama itu sebelum ini.

Lim, 37, berkata, peluang itu akan digunakan sebaiknya untuk memperjuangkan hak-hak rakyat dan akan melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan penuh amanah.

"Saya sudah terima banyak panggilan dan SMS yang mengucapkan tahniah dan sangat menghargai kepercayaan menteri besar serta

penasihat parti yang memilih saya untuk menjadi exco negeri ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Lim juga berkata bahawa harapan beliau agar polisi yang diamalkan sebelum ini, iaitu sentiasa dekat dengan rakyat dapat diteruskan walaupun sudah memegang jawatan exco kelak.

"Walaupun saya tidak ada pengalaman jadi exco, saya akan tetap dengan polisi saya dan dasar-dasar yang tidak adil akan tetap saya bantah," katanya.

Sebelum majlis angkat sumpah diadakan minggu depan, portfolio yang dipegang oleh Mohd Radzhi akan diambil alih oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Dalam pilihan raya umum ke-12, Mac tahun lalu, Lim menewaskan calon BN, Lim Lee Choo dan calon Bebas, Khairul Anuar Ramli dengan majoriti 7,365 undi.

Lim, seorang kontraktor, mempunyai empat anak berusia antara tujuh dan 15 tahun hasil perkahwinannya dengan isteri, Woon Nyok Yen, 34. Bernama.

ADS