Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pemuda Keadilan terharu sokongan antarabangsa terhadap Anwar

Pemuda Keadilan melahirkan rasa terharunya terhadap sokongan dan dorongan yang membanggakan daripada masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan reformasi dan nasib bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para pengikutnya.

Oleh itu, kata naib ketuanya, Muhammad Zahid Mad Arip, Pemuda Keadilan menafikan sama sekali dakwaan Umno dan Barisan Nasional bahawa isu Anwar sudah dilupakan.

Sebaliknya dengan sokongan jitu dari seluruh dunia, maka terbuktilah bahawa perjuangan reformasi adalah harapan yang masih mekar demi membina negara Malaysia yang benar-benar demokratik, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan naib ketua pemuda Umno Aziz Sheikh Fadzir Selasa lalu yang menggesa kerajaan mengkaji tindakan ke atas mana-mana pertubuhan dan parti politik yang cuba campur tangan dalam mana-mana undang-undang yang sudah diluluskan oleh Parlimen.

Aziz menyifat tindakan parti Keadilan yang meminta campur tangan asing untuk melobi masyarakat antarabangsa bagi mendesak kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu perbuatan yang boleh dianggap mengkhianati negara.

Beliau juga menyifatkan kenyataan timbalan ketua Pemuda Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail mengenai perkara itu sebagai amat memalukan dan menunjukkan ketidaksetiaan mereka kepada negara.

Pecabulan hak asasi manusia

Sambil menyifatkan dakwaan Aziz itu sebagai tidak berasaskan kepada fakta, Muhammad Zahid berkata, Keadilan tidak akan berputus asa untuk memberitahu dunia mengenai pencabulan hak asasi manusia, termasuk rawatan kesihatan ke atas Anwar dan penahanan berterusan tanpa bicara enam pemimpin Keadilan dan reformasi di bawah ISA.

Selain menyerahkan memorandum mengenai pencabulan hak asasi manusia di Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, beliau berkata, parti itu juga menyerahkan memorandum mengenai mogok lapar Black 14 kepada Duta Amerika Syarikat, Pesuruhjaya Tinggi Britain, Australia, New Zealand, dan Duta Besar Indonesia.

Katanya, pihaknya juga mengatur majlis penerangan kepada anggota Parlimen negara luar yang dikunjungi Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di United Kingdom, Jerman, Poland, Maghribi, Libya dan delegasi mesyuarat khas Pertubuhan Persidangan Negara Islam baru-baru ini.

Parti itu juga, katanya, akan memberi maklumat kepada anggota Kesatuan Parlimen Sedunia (IPU) mengenai keadaan sebenar dan rawatan yang diterima oleh Anwar bagi sakit tulang belakangnya yang dialaminya sekarang.

Muhammad Zahid mendakwa bahawa kerajaan Barisan Nasional semakin gusar apabila Parlimen Britain mengemukakan usul untuk perbahasan mengecam penafian hak rawatan terhadap Anwar dan juga penahanan tanpa bicara enam pimpinan reformasi di Kem Tahanan Kamunting di Perak.

Selain itu, katanya, Jabatan Negara Amerika pula mentakrifkan Anwar, dan pemimpin Keadilan Tian Chua, Mohd Ezam Mohd Nor, Lokman Noor Adam, Saari Sungib, Dr Badrul Amin Bahron dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais sebagai tahanan politik dan bukannya penjenayah.

Menurutnya lagi, pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa Amnesty International dan badan bukan kerajaan yang lain, turut menggesa pemansuhan ISA dan pembebasan tanpa syarat kesemua tahanan politik di Malaysia.

ADS