BERITA Malaysiakini

PAS pula kenakan syarat berunding dengan Umno

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu tidak perlu mengadakan sebarang rundingan dengan Umno selagi ia mengamalkan dasar kebangsaan.

Malahan beliau menganggap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa Umno bersedia berunding dengan PAS atas kepentingan Islam, sebagai isu lama.

Nik Abdul Aziz, yang juga menteri besar Kelantan juga meragui keikhlasan kerajaan pusat dalam membantu negeri Kelantan.

"Kalau nak jaga Islam lebih baik dia buat sebagaimana dia sebut tukar dasar daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam barulah benar-benar menampakkan kita ni ikhlas dengan Islam," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota

Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib semalam bahawa Umno sanggup berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam negara ini, tetapi tidak rela jika Umno dihina oleh sesiapa sekali pun.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana menyediakan peruntukan bagi pembangunan negeri ini, khasnya di kawasan DUN Manek Urai.

Beliau berharap peruntukan seperti itu dapat diberikan secara berterusan kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan pusat atas semangat persekutuan.

Semalam, Najib turut mengumumkan kerajaan pusat meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manik Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil DUN kawasan tersebut pada 14 Julai lepas. BERNAMA