Malaysiakini BERITA

P'jaya PAS NS tanding di Bagan Pinang?

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar adalah antara tiga nama telah disenaraikan untuk dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PAS negeri itu malam tadi.

Menurut sumber, kebanyakan 25 ahli jawatankuasa bahagian, lebih cenderung untuk memilih Zulkefly untuk mewakili PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Di peringkat PAS Pusat pun, ada harapan cerah beliau terpilih (sebagai calon)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

NONE Sumber itu berkata pemilihan Zulkefly (foto) dianggap bersesuaian memandangkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man juga dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos lalu.

Tambahan pula, kata sumber lagi, Dr Rosli sekarang berada di Bangladesh atas urusan perniagaan.

Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Menurut sumber itu lagi, mesyuarat malam tadi juga turut membincang dan menyusun pembahagian tugas jentera pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Mengenai pendekatan kempen pilihanraya kecil kali ini, sumber berkata: "Kita mengambil pendekatan berhemah, iaitu tidak menyerang peribadi calon lawan kerana ia tidak berkesan terhadap pengundi Melayu.

"Tambahan pula, Bagan Pinang adalah kubu kuat (bekas menteri besar) Tan Sri Isa Samad yang mempunyai saudara mara di situ. Jika menyerang secara melulu, Pakatan Rakyat akan hilang sokongan, terutama pengundi Melayu," kata sumber itu.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, katanya, Pakatan Rakyat memenangi tiga daripada lapan peti undi di DUN tersebut di mana ketiga-tiganya merupakan kawasan kaum India.

"Kita akan mempertingkatkan undi kaum India di samping memberi penerangan dengan lebih baik kepada masyarakat Melayu.

"Kita ada masalah di kawasan perkampungan majoriti Melayu dan undi Pos," katanya.

Menurut sumber itu lagi, antara isu yang boleh dibangkitkan oleh Pakatan ialah isu kepala lembu di Shah Alam, isu kematian Teoh Beng Hock, isu kenaikan cukai tanah dan cukai pintu serta isu tanah adat yang tergadai.