mk-logo
Berita
PAS mahu siasatan Selcat tertutup
Diterbitkan:  Sep 24, 2009 5:25 AM
Dikemaskini: Sep 25, 2009 3:55 AM

PAS Selangor mahu pendengaran siasatan awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dibuat secara tertutup agar pegawai kerajaan "tidak rasa diaibkan".

Setiausahanya Mohd Khairuddin Othman berkata jawatankuasa DUN negeri itu wajar belajar daripada insiden anugerah penyapu kepada pemimpin pihak berkuasa tempatan (PBT) oleh menteri besar waktu itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dianggap memalukan.

Insiden ini disebut-sebut sebagai satu daripada beberapa faktor yang menyumbang penolakan meluas orang ramai terhadap kerajaan BN Selangor dalam pilihan raya umum lalu.

"Walaupun sah kewujudannya (Selcat), tetapi PAS Selangor mendesak proses pendengaran (siasatan) ke atas pegawai tinggi kerajaan dilakukan secara tertutup bagi menjaga integriti pegawai kerajaan itu sendri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mempertahankan pendirian exco kerajaan negeri Datuk Dr Hasan Ali, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, yang menggesa Selcat membuat rombakan susulan pendengaran keduanya berhubung pengagihan dana kerajaan kepada DUN oleh pentadbiran BN dan Pakatan Rakyat sekarang.

Membandingkan pendengaran jawatankuasa khas itu dengan sistem mahkamah, Mohd Khairuddin berkata:

"Walaupun mahkamah adalah terbuka kepada orang awam, tetapi mahkamah boleh menjalankan proses perbicaraan secara tertutup menurut budi bicara mahkamah itu sendiri."

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemimpin DAP bagaimanapun mempertahankan siasatan Selcat secara terbuka. [Baca juga: DAP bantah, dakwa Dr Hasan hipokrit ]

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga menuduh Dr Hasan sebagai seorang yang "hipokrit" dan "mahu berlagak wira" kerana mengkritik Selcat secara terbuka.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS