Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan arah inkues Teoh diteruskan

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan supaya inkues kematian Teoh Beng Hock diteruskan seperti yang dijadualkan, dengan memanggil saksi-saksi lain untuk memberi keterangan.

Dalam keputusan sebulat suara, panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Low Hop Bing berkata permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangguhkan inkues tersebut, akan didengar bersama dengan kes rayuan.

Low juga mengarahkan pendaftar Mahkamah Rayuan supaya menulis kepada pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Petaling Jaya supaya menyegerakan penghakiman bertulis dan juga menetapkan tarikh awal bagi mendengar rayuan dan permohonan penangguhan inkues tersebut.

Dua lagi hakim yang mendengar kes tersebut ialah Datuk KN Segara dan Datuk Ramly Ali.

Pada 10 September lalu, Mahkamah Tinggi Petaling Jaya menolak permohonan SPRM untuk menyemak keputusan koroner inkues kematian Teoh berhubung kebenaran memanggil saksi bagi mendedahkan dakwaan penderaan pegawai suruhanjaya itu.

Pada 9 September, T Sivanesan seorang saksi yang dikemukakan oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, memberi keterangan dalam inkues Teoh, dengan mendakwa dia pernah didera oleh SPRM semasa disoal siasat.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam SPRM yang ingin mendapatkan perintah menangguhkan inkues sementara menunggu rayuan terhadap semakan itu di Mahkamah Rayuan.

[Baca berita penuh]

ADS