Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang exco kerajaan negeri Perlis mengesahkan bahawa mufti Perlis, Dr Juanda Jaya bercuti selama sepuluh bulan mulai hari ini bagi menjalankan penyelidikan akademik.

Beliau mengesahkan laporan mengenai perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kita akan uruskan semuanya. Dia cuti pun bukan lama, sepuluh bulan sahaja," katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu.

Beliau diminta mengulas tindakan Dr Juanda yang mengambil cuti panjang walaupun tidak sampai setahun berkhidmat di negeri itu.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106 Tindakannya itu menimbulkan pelbagai spekulasi apabila mufti sebelum, Dr Mohd Asri Zainul Abidin - yang juga rakannya - memutuskan bersara awal akibat "tidak selesa dengan permainan politik" beberapa pihak dalam kerajaan, berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan komen Dr Juanda (foto) berhubung perkara itu sejak semalam masih tidak berjaya.

Sementara itu, persoalan siapakah yang bakal mamangku jawatan itu masih tinggal teki-teki apabila difahamkan Timbalan Mufti Perlis, Yazid Saat juga turut bercuti pada penghujung tahun ini.

Menurut sumber, urusan pemangkuan jawatan penting itu akan diputuskan apabila Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) yang akan bersidang selepas ini.

Dr Juanda, 37, dilantik sebagai mufti Parlis pada 3 Februari lalu menggantikan Dr Mohd Asri.

Sebelum itu, Dr Juanda merupakan timbalan mufti negeri Sarawak selama lima tahun. Beliau dipinjamkan oleh kerajaan Sarawak untuk berkhidmat di Perlis selama tiga tahun, sehingga Februari 2012.

Dr Juanda, anak kelahiran Igan dekat Sibu, menuntut di Universiti Al-Azhar dari 1991 hingga 1995 dalam jurusan syariah.

Sebelum itu, beliau menuntut di Kolej Islam Klang.

ADS