Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Barisan pemimpin PAS dan DAP Selangor sekali lagi menunjuk-nunjukkan kesepakatan menjelang pilihan raya Bagan Pinang walaupun sering bergeser secara terbuka dalam isu-isu dasar pentadbiran kerajaan negeri.

Kira-kira 20 pemimpin kanan kedua-dua parti itu hadir bersama di sidang media di sebuah hotel di Shah Alam (foto atas dan kanan) selepas sidang meja bulat dua parti kerajaan itu untuk berdamai susulan ketegangan berhubung isu penjualan arak dan prosedur siasatan jawatankuasa khas DUN Selangor.

"Walaupun wujud perbezaan antara kedua-dua buah parti dari sudut dasar dan prinsip perjuangan, namun atas semangat setiakawan yang sejati, perbezaan itu mudah ditangani seperti isu pengawalan minuman arak dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat)," kata Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali.

Beliau membacakan kenyataan bersama PAS dan DAP selepas lebih dua jam perbincangan mereka mulai 2 petang ini.

Turut kelihatan, exco kerajaan tempatan Ronnie Liu, ahli jawatankuasa pusat DAP yang pernah dilaporkan didesak oleh Dr Hasan agar ditukarkan portfolionya itu atas dakwaan campur tangan dalam penguatkuasaan jualan arak kepada orang Islam.

Exco kanan kerajaan negeri Teresa Kok, exco kampung baru yang juga Pengerusi DAP negeri Ean Yong Hian Wah dan exco perumahan negeri dan timbalan pesuruhjaya PAS negeri Iskandar Samad turut hadir.

pas dap selangor talk 071009 pc 02 Di hadapan kira-kira 50 wartawan dan jurugambar, mereka sekali lagi menayangkan imej mesra – saling berseloroh, ketawa, berjabat tangan dan bergambar beramai-ramai dengan penuh senyuman.

Sidang media yang berlangsung tidak sampai 10 minit, Dr Hasan cuba mengelak menjawab soalan sama ada terdapat arahan pemimpin atasan Pakatan Rakyat supaya pemimpin kedua-dua parti itu menutup mulut daripada mengeluarkan kenyataan kepada media.

"Kita akui perkara yang lepas ada kaitan dengan media, tetapi kita putuskan untuk memperbanyakkan rundingan dan perjumpaan sebegini," katanya.

Walau ramai petugas media hadir, pemimpin-pemimpin PAS dan DAP itu hanya membenarkan tiga soalan sahaja diajukan atas alasan “kesuntukan masa” untuk berkempen di DUN Bagan Pinang.

Ditanya kesepakatan yang dicapai berhubung dua isu kontroversi itu, Dr Hasan hanya berkata, kedua-dua isu tersebut "telah tamat" dan "tidak timbul lagi".

NONE Pertelingkahan umum antara dua parti itu bermula pada penghujung tahun lalu apabila Dr Hasan dan Ronnie berselisih pendapat berhubung kawalan penjualan arak di negeri itu.

Isu itu reda sebentar apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dengan menangguhkan keputusan berhubung perkara itu sehingga selesai perbincangan dengan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, kontroversi itu muncul kembali baru-baru ini apabila Dr Hasan, sebagai exco agama negeri, dilaporkan menuduh Ronnie campur tangan dalam satu rampasan minuman beralkohol di Shah Alam.

Kedua-dua exco ini kemudian berdamai buat pertama kali di depan media dengan dihadiri pemimpin atasan Pakatan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang di sebuah kelab golf di Petaling Jaya pada 13 Ogos lalu.

Sidang media itu dipanggil ketika Pakatan Rakyat mengadakan perbincangan bersama di situ, antaranya untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit sesama tiga parti berkenaan.

Belum reda kontroversi itu, Dr Hasan mengkritik pula perjalanan siasatan awam Selcat – yang dipengerusikan Speaker DUN Chang Kim yang juga pemimpin DAP – yang didakwanya mengaibkan pegawai-pegawai daerah berhubung perbelanjaan peruntukan DUN.

ADS