BERITA Malaysiakini

42% bukan Melayu sokong BN di Bagan Pinang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sokongan bukan Melayu kepada Umno melonjak sebanyak 42 peratus dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang Ahad lalu.

Penganalisa politik, Ong Kian Ming membuat anggaran tersebut berdasarkan angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menganalisa sokongan untuk BN dari 2008 hingga 2009 mengikut saluran dan komposisi etnik di saluran-saluran masing-masimg.

Menurutnya, undi untuk calon BN, Tan Sri Isa Samad mencatatkan peningkat 4 peratus dari pengundi Melayu berbanding dengan keputusan pilihan raya umum 2008.

Dalam pilihan raya kecil Ahad lalu, majoriti yang diperolehi Isa berganda berbanding majoriti calon BN Azman Mohammad Noor pada 2008.

Isa - bekas menteri yang digantung keahliannya dalam Umno selama tiga tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan politik wang sewaktu pemilihan Umno pada 2004 - mendapat majoriti 5,435 undi, berbanding majoriti 2,333 undi yang diperolehi Azman.

Menurut Ong, berdasarkan keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang itu, 67 peratus pengundi Melayu menyokong Isa.

Lebih menarik lagi, katanya, 73 peratus pengundi bukan Melayu menyokong calon dari Umno itu.

Tiga faktor utama

Ong mengenal pasti tiga faktor utama yang mendorongkan pengundi beralih menyokong BN.

bullet button Kehadiran Isa yang begitu lama di kawasan tersebut serta merupakan bekas menteri besar. Isa juga merupakan ketua Umno bahagian Telok Kemang.

bullet button Kelemahan calon dan jentera pilihanraya PAS.

bullet button Isu-isu tempatan yang dianggap lebih penting daripada isu-isu nasional seperti insiden perarakan kepala lembu di Shah Alam dan kes kematian Teoh Beng Hock.

Mengenai undi pos pula - yang merupakan hampir 40 peratus pengundi Bagan Pinang - Ong berkata, reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan popularitinya ketika menjadi menteri pertahanan, menjamin Umno mendapat sebahagian besar undi berkenaan.

azlan Isa mendapat 3,521 undi pos manakala calon PAS Zulkefly Mohd Omar hanya memperolehi 601 undi.

Dalam pilihanraya umum 2008, BN mendapat 3,080 manakala PAS memperolehi 1,189 undi.

Peringatan untuk Pakatan

Ong bagaimanapun berkata, peralihan sokongan yang besar terhadap BN di Bagan Pinang mungkin tidak akan berlaku di kawasan pilihanraya yang lain.

"Peralihan sokongan kepada BN (di kawasan lain) mungkin lebih kecil kerana ketiadaan undi pos dan kekurangan calon lain seperti Isa," katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada kejayaan BN Ahad lalu, dapat diulangi di kawasan pelbagai kaum yang dimenangi oleh pembangkang.

"Tidak mudah bagi BN untuk mendapat sokongan yang sama (seperti di Bagan Pinang) di mana-mana kerusi di kawasan bandar dengan majoriti pengundi Cina.

"Adalah satu kesilapan untuk beranggapan bahawa peralihan sokongan yang besar (seperti di Bagan Pinang) dapat diulangi di kawasan pilihan raya yang lain, contohnya di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Namun begitu, Ong berkata, keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang adalah satu peringatan kepada Pakatan Rakyat.

"Ia adalah satu peringatan, terutama kepada PAS, bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah terhadap pengundi bukan Melayu," tambahnya.