Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Satu perhimpunan "besar-besaran" akan diadakan di Terengganu bulan depan sebagai menzahirkan perpaduan dalam kepimpinan Umno negeri itu.

Wakil Umno Terengganu, Datuk Dr Rosli Mat Hassan ketika mengumumkan perkara itu, berkata, lebih 5,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta kalangan pemimpin yang bertelagah di Terengganu kembali bersatu demi perpaduan parti.

"Sebelum ini ada pertandingan hebat di bahagian dan cawangan (di Terengganu) hingga kita lupa (tentang objektif asal)," katanya ketika berucap membahaskan ucapan dasar presiden di PWTC hari ini.

"Saya nak yakinkan persepsi bahawa kita tidak ada masalah. Sedikit-sedikit kita sudah selesaikan.

"Jadi ADUN-ADUN (yang bertelagah) kembalilah, kita kembali bermuafakat," kata Dr Rosli.

"Ketua-ketua bahagian boleh panggil (untuk bertemu), pengerusi perhubungan boleh panggil," katanya lagi.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin Umno di negeri berkenaan juga akan bekerjasama bagi memastikan kemenangan dua pertiga di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita pernah kalah pada 1999, tetapi kemudian kita berpakat dan menang semula pada 2004," katanya.

Jelasnya lagi, hubungan antara pemimpin-pemimpin Umno di Terengganu juga telah bertambah baik dengan bantuan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai pengerusi perhubungan di negeri berkenaan.

Terengganu sebelum dilanda krisis kepimpinan selepas sebilangan ADUN Umno di negeri itu tidak menyokong kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar.

ADS