Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jais diminta hadir mesyuarat exco, jelas isu tahan Dr Asri
Diterbitkan:  Nov 3, 2009 6:43 AM
Dikemaskini: 7:09 AM

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penahanan dan siasatan terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri besar Selangor juga mengundang mufti untuk memberi penjelasan isu tersebut kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mesyuarat mingguannya esok.

Mohd Asri disiasat bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah selepas ditangkap tengah malam semalam di Hulu Kelang.

Beliau ditahan ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay.

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam menjelaskan, jabatan belum mendakwa Dr Mohd Asri kerana siasatan jabatan itu setakat ini belum mencukupi.

Dr Mohd Asri mempertikaikan arahan Jais memintanya hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur pagi semalam walaupun tidak mendakwanya.

Mohammed Khusrin kemudian berkata agamawan itu dibawa ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon melanjutkan tempoh siasatan.