Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jepun bahasa ketiga di sekolah
Diterbitkan:  Nov 3, 2009 3:13 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Kementerian Pelajaran merancang menambah lebih banyak sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah harian yang mengajar

bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga selepas bahasa Melayu dan Inggeris.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata untuk itu setiap tahun kementerian akan menambah tenaga pengajar bahasa Jepun di sekolah-sekolah terbabit.

"Setiap tahun kita akan menambah kelas bahasa Jepun di sekolah-sekolah berasrama penuh dan menengah harian apabila pelajar-pelajar kita yang belajar di Jepun pulang ke tanah air," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Osaka University Forum 2009 di Kuala Lumpur.

Alimuddin berkata sehingga kini tenaga pengajar dalam bahasa-bahasa antarabangsa masih tidak mencukupi kerana permintaan itu bukan sahaja wujud di sekolah-sekolah malah di kementerian dan jabatan kerajaan.

Sehingga tahun lepas, sebanyak 43 buah sekolah berasrama penuh dan 29 buah sekolah menengah harian terlibat dalam program bahasa Jepun yang menjadikan Malaysia sebagai negara ke-12 teramai mempelajari bahasa Jepun di dunia, katanya.

Forum selama dua hari yang bermula hari ini itu dihadiri oleh tenaga pengajar bahasa Jepun dari Malaysia, Thailand, Filipina, India dan Singapura bagi membincang dan membentangkan pelbagai isu berhubung pendidikan dan bahasa.

Ditanya mengenai siasatan berhubung tragedi jambatan gantung yang runtuh di SK Kuala Dipang, Kampar pada 26 Okt lepas, Alimuddin berkata jawatankuasa khas itu akan mengadakan mesyuarat kedua pada Isnin depan.

"Mesyuarat kedua itu akan diadakan pada Isnin depan dan kita jangka dalam minggu akan datang kita akan dapat serahkan laporan siasatan kepada timbalan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri pelajaran)," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa khas yang dianggotai wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), polis dan wakil kerajaan negeri Perak itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya minggu lepas.

Dalam kejadian itu, dua pelajar SJKT Mambang Di Awan dan seorang pelajar SJKT Gopeng mati lemas selepas jambatan gantung yang menghubungkan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dan Pusat Kokurikulum Daerah Kampar runtuh. BERNAMA

ADS