Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa, beliau satu-satunya tokoh agama yang tidak dibenarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberikan ceramah agama di negeri itu walaupun ketika menjadi mufti dua tahun lalu.

NONE Bekas mufti Perlis itu mendakwa, kecuali dirinya, Jais membenarkan mufti negeri-negeri lain memberikan ceramah dan mengajar agama di Selangor.

“Saya lihat, adanya surat yang dikeluarkan pihak Jais semasa saya menjadi mufti. (Surat itu menyebut) semua mufti dibenarkan berceramah di negeri selangor kecuali mufti Perlis.

“Saya tidak tahu bila surat itu dikeluarkan, tetapi ia ditunjukkan kepada saya,” kata Dr Mohd Asri yang enggan menamakan pihak terbabit.

Oleh itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya konspirasi terhadapnya - yang membawa kepada penangkapan kerana mengajar tanpa tauliah Ahad lalu - bermula sejak beberapa tahun lalu.

Dr Mohd menjadi mufti Perlis mulai penghujung tahun 2006 sehingga November tahun lalu.

Ahad lalu, Dr Mohd Asri yang ditangkap Jais ketika berceramah di sebuah banglo di Hulu Kelang Ahad lalu, atas alasan mengajar tanpa tauliah.

‘Perasaan tak puas hati’

Dalam wawancara dengan Malaysiakini pagi ini, Dr Mohd Asri bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu motif sebenar di sebalik penangkapannya.

Bagaimanapun, beliau mengesyaki, perasaan tidak puas hati beberapa pihak terhadapnya berpunca daripada beberapa kenyataan kontroversinya sebelum ini, seperti mengkritik operasi mengintip pasangan berkalwat dan membolehkan penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam.

“Kalau berpunca daripada perbezaan aliran, ia sangat dukacita ketika dunia kini bercakap soal percambahan fikiran. (Ajaran) agamakah itu?”

Katanya, terdapat segelintir ahli agama yang “rakus kuasa” dan tidak selesa dengan perubahan yang hendak diperkenalkannya.

“Kerajaan yang larang rakyat berbeza pandangan (dengannya) adalah kerajaan yang rakus kuasa. Orang agama yang larang orang berbeza pandangan dengan mereka adalah puak yang rakus kuasa.

“Ini adalah perkara yang menjijikkan dalam agenda hidup manusia,” katanya penysarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

"Orang yang anti-perubahan adalah orang yang ada kepentingan. Dia bimbang pada pandangan baru,” katanya.

‘Cerita detik ditangkap’

Diminta menjelaskan asas tuduhannya bahawa terdapatnya konspirasi untuk menjatuhkannya, Dr Mohd Asri berkata:

“Kalau mereka (Jais) datang tiga orang, saya kata (akui) itu prosedur. Ini (mereka) datang dengan berpuluh-puluh (anggota) polis. Kereta saya (naiki ke balai) itu diiring depan dan belakang sebagaimana penangkapan (pengganas terkenal) Nordin Mat Top. Ini sungguh dahsyat,” katanya.

Dr Mohd Asri berkata, beliau juga hendak digari pada malam itu tetapi polis bertolak ansur selepas berunding dengan beberapa peguam dan dua wakil rakyat pembangkang - Shaari Sungib (ADUN PAS Hulu Klang) dan (ahli parlimen PKR Ampang) Zuraida Kamaruddin = yang turut menghadiri ceramahnya.

“Ini tidak masuk akal,” kata Dr Mohd Asri yang dikaitkan dengan ajaran Wahabi.

Mengulas bantahan Persatuan Peguam Shari'e Malaysia (PGSM) terhadap perlantikannya sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Mohd Asri berkata, ia tidak menggambarkan pendirian keseluruhan ahlinya.

“Saya tidak fikir NGO Islam berpakat untuk berbohong,” katanya merujuk kepada tuduhan yang beliau telah mencerca tokoh agama terkenal Islam dan menolak solat hajat.

“Tetapi saya dengar ramai rakan daripada Jemaah Islam Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang tidak puas hati dengan memorandum itu. Saya lihat ini tindakan individu tertentu,” katanya.

Memorandum bantahan

Menurutnya, presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin pernah menemuinya berhubung cadangan pelantikannya sebagai yang dipertua Yadim.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu beliau masih belum mendapat tahu mengenai tindakan NGO berkenaan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, membantah cadangan pelantikannya itu.

Berhubung cadangan pelantikannya sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bekas mufti Perlis itu berkata, ia merupakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

shahidan kassim Dr Mohd Asri berkata, beliau menjangka pemilihannya itu dibuat perdana menteri berdasarkan penglibatannya dalam banyak program keagamaan termasuk yang dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin politik kerajaan.

Beliau bagaimanapun menafikan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim- yang dilihat begitu rapatnya - adalah 'political master ' kepadanya.

“Kalau dia ‘political master’ saya, sudah tentu saya sudah masuk Umno,” katanya sambil ketawa.

Semalam, Dr Shahidan dilaporkan membuat laporan polis berhubung memorandum PGSM dan kenyataan seorang pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berhubung isu kelayakan Dr Mohd Asri.

ADS