Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seminar politik PAS Sabtu lalu telah berjaya mencapai matlamatnya untuk "mendedahkan" kepada pemimpin dan para perwakilan mengenai persepi orang luar terhadap PAS, kata bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad.

Bagaimanapun, katanya, terpulanglah kepada pucuk pimpinan PAS untuk mempersetujui sama ada persepsi itu tepat ataupun tidak.

khalid samad 160609 02 Beliau yang juga ahli parlimen Shah Alam berkata, matlamat untuk memberi ‘peringatan' kepada seluruh jentera PAS bahawa itulah persepsi orang luar terhadap PAS.

"Jadi, kita perlu kaji, kita perlu bertindak sama ada untuk menolak atau menerimanya. Kita juga perlu menganalisa dan mengenal pasti untuk mengatasi persepsi tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Oleh itu, katanya, banyak tindakan susulan yang perlu diambil segera bagi memperkukuhkan lagi kedudukan parti.

Mengenai kertas kerja yang dibentangkan oleh dua ahli akademik - Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Prof Madya Dr Abu Hassan Abdullah - yang mengkritik keras kepimpinan PAS, Khalid berkata:

"Pokoknya ia merupakan satu pendedahan persepsi terhadap PAS. Persepsi mungkin atau salah. Apa yang perlu dilakukan ialah memperbetulkan persepsi itu.

"Bagi kita, kita bergerak atas premis, itu tersilap mungkin kerana ‘hubungan awam' kita kurang atau penerangan kurang berkesan atau ada kelemahan pemimpin-pemimpin tertentu," katanya.

'Kita sudah bincang'

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Nasrdin Hassan menyifatkan seminar tersebut sebagai "positif" dan "boleh menyelesaikan masalah dalam PAS".

"Kemelut yang dihadapi boleh dianggap sebagai selesai, sebab kita sudah bincang, sudah berseminar, sudah luahkan perasaan dan isi hati, kita sudah berbahas, memberi komentar dan membuat resolusi.

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 01 "(Jika) pemimpin dan akar umbi PAS mahu berubah untuk menjadi lebih baik, lebih berprestasi, maka kesannya positif dan berjaya.

"Tapi, jika masih nak ungkit kisah lama, masih ada jurang pandangan, mahu sambung pertelingkahan, maka saya kira ia sukar diselesaikan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Diminta mengulas mengenai objektif seminar yang diperolehinya dalam usaha untuk memperkasakan kedudukan parti itu.

Katanya, tindakan segera harus diambil dalam usaha untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.

Diminta mengulas mengenai kertas kerja yang dibentang oleh Dr Abu Hassan itu, Nasrudin berkata, beliau "mendengar semua pandangan dan mengambil apa yang terbaik daripadanya".

"Ia satu percubaan baru dan berani dan menjadikan PAS berkomunikasi dengan orang yang di luar lingkungan PAS, dan berfikir di luar kotak PAS.

"Oleh kerana itu, kita tidak boleh memandang rendah atau mengenepi pandangan tersebut," katanya.

Nasrudin bekata, pemimpin parti perlu bijak dalam menilai pandangan yang diberikan dan seterusnya mengambil tindakan yang segera.

Menurutnya, pandangan Abu Hassan itu juga "paling kurang ia menjadi muhasabah kepada pemimpin dan ahli akar umbi untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan".

"PAS perlu melakukan introspektif dengan melihat jauh ke dalam apa yang perlu dihadapi oleh PAS. Masalah dalaman PAS dilihat secara jujur dan mendengar pandangan luar untuk bertindak selepas ini.

"Hasil daripada seminar itu, kita anggap ia satu motivasi untuk PAS bangkit bagi melaksanakan tindakan yang tergendala, memperbaiki kelemahan atau membetulkan kesilapan," katanya.

ADS