mk-logo
Berita
Ronnie Liu nafi dakwaan bantu PKM
Diterbitkan:  Nov 9, 2009 10:34 AM
Dikemaskini: 10:35 AM

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu hari ini berkata beliau tidak pernah terlibat dalam membantu pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum ini seperti didakwa oleh sebuah blog, unspinners.blogspot.com.

Ketika ditemui di luar sidang dewan undangan negeri di Shah Alam hari ini Liu berkata beliau tidak pernah mengadakan sebarang hubungan atau menyalurkan sebarang bantuan kepada PKM sama ada tenaga, makanan atau ubat-ubatan seperti didakwa laman blog itu.

Tegasnya, dakwaan laman blog itu adalah fitnah dan tidak berasas yang bertujuan menjatuhkan imejnya selaku wakil rakyat pakatan pembangkang di Pandamaran, Selangor.

Selain menafikan penyaluran bantuan kepada PKM, Liu juga turut menolak dakwaan beliau pernah bertemu dengan bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng di sempadan Thailand seperti yang didakwa.

Beliau berkata:"Saya tak tahu menahu mengenai perkara ini. Saya tidak pernah terlibat dalam aktiviti PKM. Saya ingat ini satu tuduhan terhadap saya yang mempunyai motif tertentu.

"Saya tidak pelik dengan dakwaan ini kerana sebelum ini terdapat pelbagai dakwaan yang mengaitkan saya dengan perkara tidak baik seperti 'mengarahkan mendiang Teoh Beng Hock dibunuh' serta mempunyai hubungan dengan kongsi gelap," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis mengenai dakwaan dalam blog itu, Liu berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana blog berkenaan tidak mempunyai maklumat seperti penulis serta pihak yang bertanggjawab mengendalikannya.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini