Malaysiakini BERITA

Amaran pada MP, ADUN PKR tidak berprestasi

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada pemimpin dan wakil rakyat PKR yang berhasrat untuk menjadi calon dalam pilihanraya umum akan datang supaya menunjukkan prestasi yang baik untuk membela rakyat.

Jika tidak, kata Anwar, mereka tidak berpeluang untuk dipilih semula untuk menjadi calon di kawasan yang akan ditandingi.

"Saya tekankan kepada ahli-ahli yang dipilih, kalau prestasinya baik, alhamdulillah. (Tapi) kalau belum baik, jangan harap dapat bertanding semula.

"Sementara ada waktu, baiki. Baik jawatan menteri besar atau exco kerajaan negeri tidak ada jaminan. Minggu lalu saya beri amaran cukup keras di Pulau Pinang. Jangan uji kesabaran saya," katanya.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata demikian sewaktu memberi ucapan di konvensyen PKR Selangor yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan daripada 22 cabang di Selangor.

Beliau mengulas tindakan kontroversi ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytihar keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas yang 'Mesra BN' hujung bulan lalu.

Anwar berkata Badrul memang mempunyai masalah dan pimpinan PKR yang lain juga cuba menyelesaikannya sebelum ADUN Pelabuhan Klang itu mengisytiharkan keluar daripada parti itu.

"Saya tengok dia lima minit, saya tahu dia memang ada masalah... tapi pada masa itu, kita ambil sikap prikemanusiaan....(Badrul ada) rekod lemah, kerja tak jalan, sidang DUN tak hadir, menteri besar (Khalid Ibrahim) turun kawasan (Pelabuhan Klang), dia tidak ada, saya pergi (dia) tidak ada.

"Sepatutnya kita perlu lebih tegas, kita bagi surat tunjuk sebab dua minggu dan pecat terus," katanya

Menurut Anwar, beliau mengakui "banyak bertanggungjawab" untuk meletakkan calon PKR di peringkat parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu.

"Tapi negeri (ADUN) saya tak tahu, saya serah pada negeri...tapi bila ada masalah, orang kata 'Itulah Anwar, kenapa pilih orang-orang yang dungu ini'," katanya

Sehubungan itu beliau mengingatkan badan perhubungan PKR negeri supaya memastikan calon dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang mempunyai kelayakan dan boleh berkhidmat kepada rakyat.