Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan untuk memperkenalkan atau meluluskan apa-apa undang-undang jenayah, dakwa seorang peguam terkemuka, Zaid Ibrahim.

Oleh itu, beliau berkata Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 adalah tidak sah dan tidak ada kuatkuasanya.

Zaid yang juga ketua Umno bahagian Kota Baru, berkata demikian ketika mengemukakan permohonan saman untuk mendapat pengisytiharan tersebut di Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga memfailkan satu permohonan untuk mempercepatkan pendengaran kes itu memandangkan Kerajaan Terengganu dijangka membentangkan rang undang-undang hudud itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri mulai 7 Julai depan.

Permohonan itu dibuat melalui firma guamannya Tetuan Zaid Ibrahim & Co di mana beliau adalah pengarah urusannya.

Zaid kemudiannya memberitahu pemberita bahawa sebagai seorang warganegara Malaysia yang prihatin, beliau bertanggungjawab untuk memohon perisytiharan itu kerana khuatir kerajaan negeri bebas untuk mencabar kerajaan pusat jika isu itu tidak diputuskan oleh mahkamah.

Beliau berpendapat Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu seolah-olah mencabar kerajaan pusat apabila Kelantan meluluskan enakmen syariahnya pada 1993, manakala Terengganu pula mahu membentang rang undang-undang hudud itu bulan depan.

Zaid juga berpendapat bahawa apa-apa undang-undang jenayah walau apa pun gelarannya, sepatutnya dibuat oleh Parlimen seperti yang termaktub di bawah bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan.

Prosedur undang-undang

Semua orang, termasuk pemimpin kerajaan negeri mestilah menghormati dan mematuhi peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan undang-undang persekutuan yang lain, katanya.

Jika tidak orang ramai akan menyoal mengapa menteri-menteri besar dibenarkan melanggar undang-undang, tambahnya.

"Ini bukan soal agama atau undang-undang Islam tetapi soal prosedur undang-undang yang mesti dipatuhi," katanya.

Dalam permohonannya, Zaid berkata perbuatan-perbuatan yang dicadangkan dikenakan hukuman dalam rang undang-undang hudud Terengganu dan enakmen Syariah Kelantan telahpun diperuntukan didalam undang-undang persekutuan.

Dia juga meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa kedua-dua rang undang-undang hudud Terengganu dan enakmen syariah Kelantan itu sebagai tidak sah dan menyalahi peruntukan Perlembagaan.

Di dalam affidavitnya pula Zaid berkata: "Saya kira kebebasan asasi yang saya sendiri nikmati sebagai rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan dan sebagai pemastautin negeri Kelantan, telah terancam oleh sebab cadangan perundangan tersebut."

Berdasar kepada kepercayaannya, beliau berkata, bahawa seluruh perundangan itu tidak sempurna pada segi zahirnya dan tidak sempurna dari mulanya.

Zaid juga adalah ahli pengasas dan presiden pertama bagi Persatuan Peguam-peguam Islam Malaysia dan Persatuan Pengguna Kelantan.

ADS