Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bkt Antarabangsa: Bantuan RM1,000 sebulan tak cukup

Bantuan kewangan bulanan RM1,000 yang dihulurkan oleh kerajaan Selangor kepada setiap keluarga mangsa bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akhir tahun lalu, adalah tidak mencukupi.

Bantuan tersebut diberi kepada 38 keluarga mangsa terbabit sejak April tahun ini.

Tragedi awal pagi 6 Disember tahun lalu itu mengorbankan lima nyawa dan memusnahkan 14 rumah di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa.

Setiausaha jawatankuasa bertindak kumpulan penduduk tersebut, Raymond Jagathesan berkata,mangsa terbabit masih terbeban dengan pinjaman bank, serta perlu menyewa di tempat lain buat masa sekarang.

"Walaupun rumah terlibat dalam bencana atau terbakar, pihak bank masih mahu pemilik rumah itu menyelesaikan baki pinjaman," jelasnya lagi.

Di samping itu, katanya, mereka juga perlu menyewa di sekitar kawasan perumahan elit tersebut dengan kadar sewaan yang mencecah RM3,000.

"Mereka sekarang menyewa rumah di Ampang, sekitar Taman Bukit Perdana, Apartment Beverly Heights dan Taman Tun Abdul Razak. Mereka perlu belanja untuk sewa rumah antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Jumlah RM1,000 itu tidak cukup," jelasnya.

Golongan pesara

Tambahnya, kebanyakan daripada pemilik rumah berkenaan terdiri daripada golongan pesara yang tidak mempunyai sumber pendapatan lain untuk menampung beban tersebut.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan mendeklasifikasika n laporan siasatan tanah runtuh di situ untuk membolehkan orang ramai, khususnya mangsanya, mengetahui perkara yang sebenarnya berlaku.

Laporan itu disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Menteri besar berkata, beliau juga akan menemui penduduk di situ awal Januari ini dan akan memberi bantuan kepada penduduk yang menjadi mangsa tanah runtuh itu.

Menurut Raymond lagi, kontraktor yang bertanggungjawab membaikpulih jalan masuk ke kawasan perumahan itu juga perlu mempercepatkan kerja-kerja tersebut untuk membolehkan seramai 38 keluarga terlibat pulang ke rumah semula.

"Kontraktor janji kerja-kerja ini sepatutnya habis pada bulan September. Sekarang sudah bulan November," katanya.

Jalan lewat siap

Tambahnya, kini hanya sebilangan keluarga di kawasan Taman Bukit Mewah yang dibenarkan memasuki rumah mereka.

"Penduduk di Jalan Wangsa 9 tidak dibenarkan balik sebab tidak ada jalan langsung," katanya.

Mengulas mengenai pendedahan laporan tersebut, Raymond berkatya, pihak yang bertanggungjawab menyebabkan berlaku insiden tersebut perlu tampil ke depan.

Menurut laporan tersebut, tanah runtuh tersebut dikenalpasti berpunca daripada kebocoran paip yang dipasang di sepanjang sederet rumah kosong.

Raymond berkata, sekiranya terdapat unsur kecuaian, individu yang bertanggungjawab tidak boleh 'lepas tangan' begitu sahaja.

"Ini kerana kecuaian itu menyebabkan bencana yang bukan saja memusnahkan harta benda tapi juga nyawa," kata Raymond.

"Sekarang kita hendak tahu siapa yang bertanggungjawab pasang paip itu dan bagaimana ia boleh pecah. Kita juga mahu mereka tampil ke depan dan kata 'ini kesilapan kami, sekarang apa kami boleh bantu?" soalnya.

Katanya lagi, tindakan menteri besar mendedahkan maklumat dalam laporan sulit itu adalah satu langkah yang baik kerana dapat memadamkan khabar-khabar angin yang berlegar sebelum ini.

"Sebab sebelum ini banyak khabar angin yang kata tanah runtuh sebabnya macam-macam. Jadi apabila kita dapat tahu sebab sebenar, sekarang kita rasa lega sedikit.

"Sekurang-kurangnya kita dapat tahu sebabnya ialah paip pecah di depan kawasan rumah tinggal di kawasan ini," katanya.

ADS