Malaysiakini BERITA

Muhd Taib serah tugas pada timbalan

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah mengamanahkan tugasnya sebagai ketua Umno bahagian Kelana Jaya kepada timbalannya, Datuk Yahya Bujang.

Beliau menyerahkan tugas tersebut kepada Yahya semenjak dipilih memegang jawatan ketua bahagian tersebut tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Yahya berkata beliau diamanahkan menjalankan tugas-tugas Muhammad mulai Mei tahun lalu.

NONE "Dia selalu ke luar negara, jadi dia amanahkan kepada saya untuk menjalankan tugas-tugas tersebut, termasuk menghadiri mesyuarat perhubungan negeri," kata Yahaya.

Beliau bagaimanapun menolak desas-desus mengenai kemungkinan Muhammad (kanan) akan keluar Umno.

Desas-desus itu tercetus ekoran kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di konvesyen PKR Selangor Ahad lalu bahawa Muhammad mengakui perubahan yang dilakukan di negeri itu oleh pemimpin Pakatan, ketika mereka bertemu minggu lalu.

Khalid juga mendakwa, dalam pertemuan itu, Muhammad juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengannya "untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar.".

"Saya kenal sangat Tan Sri Muhammad. Dia tu bekas bos saya, saya tak fikirlah dia akan keluar umno. Sangat susah untuk percaya dia akan buat begitu.

Bekas setiausaha

"Saya tidak boleh pastikan berlaku pertemuan atau tidak. Persoalan ini kita kena tanya tuan punya diri Tan Sri Muhammad Taib sendiri untuk jawab," kata Yahaya yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada Muhammad.

Yahya menjelaskan bahawa Muhammad - yang kalah dalam pemilihan jawatan timbalan presiden Umno tahun lalu - tidak memintanya memangku jawatan ketua bahagian Kelana Jaya kerana ianya tidak dikosongkan oleh bekas menteri besar itu.

"Saya cuma diamanahkan untuk jalankan tugas-tugas beliau. Tidak boleh kata saya pemangku. Kalau pemangku maknanya Tan Sri dah letak jawatan sebagai ketua bahagian. Tapi dia tak letak jawatan (ketua bahagian), jauh sekali untuk keluar Umno," katanya lagi.

"Kalau dia nak keluar Umno, kenapa dia hendak bersusah payah amanahkan saya jalankan tugasnya?" soal Yahaya lagi.

Yahaya juga berkata beliau sering berhubung dengan Muhammad walau telah "lama" tidak bertemu dengan menteri besar Selangor yang ke-12 itu.

"Minggu ini pun ada berhubung," katanya lagi tanpa mengulas lanjut.

Seorang lagi pemimpin Umno Selangor, Datuk Seri Khir Toyo berkata Muhammad tidak mungkin akan lompat parti kerana beliau adalah seorang yang setia kepada parti.

Dr Khir yang merupakan ketua pemikir Umno Selangor, menjelaskan bahawa Muhammad sedang "bercuti" daripada menjalankan aktiviti parti sejak tiga bulan lalu.

"Dia sedang berehat tapi masih lagi ketua bahagian," kata Dr Khir ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Saya kenal dia, dia tidak mungkin akan lompat parti. Dia tidak mungkin akan buat begitu," katanya lagi ketika ditanya.

Dr Khir menjelaskan, ada kemungkinan Khalid mereka-reka cerita mengenai pertemuan dengan Muhammad, kerana ingin mendapatkan sokongan.

"Mungkin Khalid reka cerita itu sebab nak naikkan nama dia. Jadi sekarang Khalid yang kena jelaskan sama ada benar Muhammad ada kata begitu.

"Isu lompat parti tidak timbul. (Muhammad) sudah nafi. Jadi dia tidak perlu buktikan apa-apa," kata Dr Khir lagi.

Dr Khir berkata beliau bagaimanapun tidak menemui Muhammad untuk mendapatkan penjelasan berkaitan kenyataan Khalid itu.

"Kali terakhir saya jumpa dia adalah dua atau tiga bulan lalu," katanya lagi.

Ketua penerangan Umno negeri, Shukor Idris pula berkata beliau masih gagal menghubungi Muhammad.

"Dia sedang bercuti. Mungkin sekarang tengah sibuk dengan aktiviti keluarga. Setakat yang saya tahu, dia juga sudah lama tidak aktif dengan aktiviti dan di bahagiannya di Kelana jaya.

"Tugas-tugas sebagai ketua bahagian pun sekarang dipangku oleh Datuk Yahaya Bujang," katanya lagi.