Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam mahu jumpa PM isu royalti minyak
Diterbitkan:  Dec 2, 2009 11:28 AM
Dikemaskini: 7:25 AM

Kerajaan Kelantan semalam menghantar surat permohonan untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai tuntutan royalti minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Datuk Husam Musa berkata, permohonan itu dibuat berikutan kenyataan Najib bahawa pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Oleh kerana perdana menteri telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya selaku pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri yang dilantik oleh exco, telah menghantar surat kepada perdana menteri," katanya kepada pemberita di lobi

Parlimen semalam.

Najib ketika sidang medianya di Port Of Spain (Trinidad & Tobago) dilaporkan berkata, tuntutan tersebut boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Katanya, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

Sehubungan itu, Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, telah meminta jasa baik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengatur pertemuan antara kerajaan Kelantan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membincangkan isu royalti minyak.

Menyentuh tentang laporan media bahawa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa Jumaat lepas supaya Allah menurunkan bala ke atas perdana menteri kerana enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, beliau mendakwa hanya sebahagian daripada ucapan mursyidul am PAS itu dilaporkan.

Katanya, doa Nik Aziz sebenarnya bukan terus minta Allah jatuhkan hukuman ke atas perdana menteri sebaliknya supaya Najib berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri.

"Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah Tok Guru (Nik Aziz) minta supaya Allah letakkan bala kepada perdana menteri.

"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagian terakhir ucapan itu untuk menggambarkan menteri besar Kelantan hanya sukakan konfrontasi dengan perdana menteri," katanya.

Najib dilaporkan berkata beliau tidak akan meminta Nik Aziz memohon maaf sebaliknya menyarankan menteri besar sedar bahawa perbuatannya dilihat oleh ramai umat Islam sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keislaman.

Mengenai laporan sebuah harian baru-baru ini bahawa beliau akan meletakkan jawatan exco, Husam berkata laporan berkenaan menjejaskan reputasinya sebagai anggota exco negeri Kelantan.

"Berita ini telah menjejaskan saya dengan teruk sekali. Di Kelantan hampir saban hari perbincangan mengenai isu ini berlanjutan menerusi pelbagai cara, menyebabkan satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Husam berkata peguamnya telah menghantar notis kepada harian berkenaan semalam menuntut agar permohonan maaf secara terbuka segera dibuat. BERNAMA

ADS