Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki diarah bela diri kes kereta exco T'ganu
Diterbitkan:  Dec 2, 2009 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini memerintah seorang pemilik bengkel supaya membela diri di atas pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu, Ogos tahun lepas.

Hakim Mohamad Khalid Abd Karim berkata, pihak pendakwa berjaya membuktikan terdapat prima facie terhadap kes itu dan sehubungan itu mahkamah menetapkan 7 dan 8 Mac tahun depan sebagai tarikh untuk tertuduh, Choong Yuen Sang, 48, pemilik bengkel di Chendering dekat Kuala Terengganu membela diri.

Choong dituduh memberi invois palsu mengenai pembekalan satu set kotak gear Auto Transmission Assy (New) V6 berjumlah RM19,119.91 melibatkan kereta bernombor pendaftaran TAK 415.

Invois itu didakwa diberikannya kepada penolong pegawai tadbir negeri Hashim Abdul Rahman di pejabat SUK Terengganu pada 2 Ogos lepas.

Choong didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997, jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Kes itu pernah mendapat perhatian umum tahun lepas apabila kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pembelian 14 kereta Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco kerajaan negeri.

Pembelian itu atas alasan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 berkenaan yang terlalu tinggi mencecah RM1.07 juta dari 2004 sehingga tahun lepas di samping atas faktor keselamatan.

Ekoran itu SPRM memulakan siasatan terhadap kes berkenaan dan telah mendakwa dua pemilik bengkel dekat sini termasuk Choong atas tuduhan membuat tuntutan palsu.

Pertuduhan dilakukan pegawai pendakwa SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar, manakala tertuduh diwakili peguam V Rajadevan. BERNAMA

ADS