kemaskini 5.16pm Kisah hantu jelmaan mendiang Teoh Beng Hock menjadi buah mulut di kalangan kakitangan pejabat dan pelanggan yang berurusan di Plaza Masalam setelah dilaporkan akhbar minggu lalu tetapi ia tidak wujud, kata kakitangan sebuah syarikat kawalan keselamatan.

ruslan nordin plaza masalam Ruslan Nordin, pegawai kanan Evergreen Venues Sdn Bhd berkata selepas laporan China Press 4 Disember lalu, banyak pihak yang bertanya kepada pasukannya mengenai kesahihan dakwaan tersebut .

Bagaimanapun, katanya, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan tiada sebarang aduan dibuat oleh kakitangan syarikat tersebut - yang bertanggungjawab menyelia sekitar kawasan terbabit - berhubung kewujudan fenomena ganjil tersebut.

"Saya sendiri dengar dua tiga hari lepas daripada pelanggan-pelanggan kita (di Plaza Masalam).

"Tetapi saya menafikannya (laporan tersebut) kerana kita sendiri tidak terima apa-apa laporan daripada anggota saya.

"Tahu itu tahu daripada surat khabar Cina, tetapi saya tidak ambil kisah sangat. Saya tinjau dulu. Saya tanya anggota saya, mereka kata, 'tidak ada tuan'.

"Selama ini kita buat rondaan di atas, bawah, tingkat bawah tanah, sejam sekali, tidak ada apa-apa pun," katanya kepada Malaysiakini dalam tinjauan di plaza tersebut, lokasi Teoh ditemui mati dan juga pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor.

Ruslan berkata, kes-kes paranormal lain juga tidak pernah dilaporkan kepada pihaknya sebelum ini.

"Hantu lain pun tidak pernah wujud, hantu air ke, hantu jerangkung ke tidak pernah wujud," katanya.

Tiga individu dilaporkan mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh - pembantu exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - merayau-rayau di ibu pejabat SPRM negeri itu.

Menurut laporan akhbar berkenaan, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima plaza tersebut, tempat Teoh ditemui mati, dan di tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM.

Akhbar harian itu memetik seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM - semuanya tidak dinamakan - terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu, lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Ditemui Malaysiakini di pejabatnya di tingkat bawah plaza tersebut, Ruslan menyifatkan khabar angin tersebut "seperti cerita kartun" dan "cerita drakula".

Katanya, pada jam 6.30 petang, ketika hantu Teoh didakwa muncul, masih ramai lagi kakitangan berada di situ dan menggunakan lif di bangunan berkenaan.

Tambahnya, kemunculan cerita tersebut kini membuatkan pihaknya lebih berwaspada dan tidak lagi membenarkan pemberita dan jurugambar membuat rakaman di sekitar kawasan tersebut tanpa kebenaran.

"Kita tidak benar lagi, melainkan dapat surat bertulis (kebenaran) daripada pejabat pentadbiran kita untuk masuk buat penggambaran," katanya, sambil menambah, ia merupakan tempat persendirian.

Untuk satu-satu masa, terdapat empat atau lima anggota keselamatan syarikatnya bertugas menyelia keadaan sekitar, tambahnya.

Bagaimanapun, syarikatnya tidak bertanggungjawab terhadap kawalan keselamatan di pejabat SPRM di tingkat 14 dan 15 kerana suruhanjaya itu mempunyai anggota keselamatan sendiri.

"Mereka ada jaga sendiri. Kita tidak pernah pun berbual dengan mereka," katanya lagi.

Sementara itu, Malaysiakini turut mengunjungi pejabat SPRM di tingkat 14 bagi mendapatkan ulasan pihak keselamatannya.

Pergerakan wartawan dan juruvideo akhbar web ini dikawal agak ketat sehingga seorang petugas keselamatan diarahkan mengiringi mereka ke pejabat suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, seorang penyambut tetamu di situ memberitahu bahawa pengarah dan pegawai lain tiada di pejabat wakut itu.

Beliau sebaliknya meminta Malaysiakini membuat temujanji terlebih dahulu untuk mendapatkan sebarang ulasan.

Sementara itu, inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam bagi menyiasat punca kematian Teoh, yang mencipta kontroversi besar, yang dijadual esok ditunda ke 17 Disember ini.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini