Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semakan kehakiman Anwar ditolak
Diterbitkan:  Jan 5, 2010 6:10 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kebenaran permohonan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk semakan kehakiman terhadap satu kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh seorang pendakwa raya untuk perbicaraan kes liwat beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Aziah Ali dalam keputusannya berkata permohonan itu remeh dan menyusahkan serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Beliau menolak permohonan itu dengan kos.

Katanya, beliau bersetuju dengan penghujahan peguam kanan persekutuan Azizah Nawawi bahawa ia adalah penyalahgunaan proses untuk memndapatkan bantuan mahkamah sivil bagi semakan kenyataan bertulis itu dan untuk mengarahkan responden pertama (timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria) mengeluarkan satu kenyataan bertulis yang baru.

"Mahkamah sivil itu tidak ada bidang kuasa untuk semakan sebarang tindakan yang diambil timbalan pendakwa raya ketika menjalankan tanggungjawabnya di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC)," tambah beliau.

Beliau berkata jika permohonan Anwar dibenarkan, bermakna mahkamah sivil campur tangan dengan bidang kuasa mahkamah jenayah.

Pada 3 Ogos 2009, Anwar telah memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan Mohamad Hanafiah, pihak pendakwaan dan kerajaan sebagai responden.

Hanafiah telah mengeluarkan satu kenyataan bertulis di bawah Seksyen 51A(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah kepada Anwar, membayangkan bahawa tidak ada fakta yang berpihak kepada pembelaan pada perbicaraan liwatnya.

Kenyataan itu diserahkan kepada Anwar pada 24 Jun 2009. Anwar memohon satu pengisytiharan bahawa kenyataan bertulis yang ditandatangani Mohamad Hanafiah bahawa tidak ada fakta yang berpihak untuk diberikan kepada pembelaan, yang batal dan tidak sah.

Beliau memohon satu perintah certiorari untuk memansuhkan, satu perintah mamandus untuk pendakwaan membekalkan kepada Anwar, satu kenyataan bertulis mengenai fakta yang berpihak kepada pembelaan.

Anwar juga memohon perintah larangan dan injunksi kepada Hanafiah dan pendakwaan untuk menghalangnya daripada prosiding dan meneruskan dengan pendakwaan atau sebarang prosiding lain terhadap Anwar, sehingga fakta yang berpihak kepada pembelaan dibekalkan kepada Anwar.

Beliau memohon untuk satu perintah terhadap Hanafiah dan pendakwaan tidak mengambil semua tindakan atau sebarang prosiding terhadap Anwar sehingga permohonan ini selesai.

Anwar juga memohon ganti rugi teruk dan teladan serta punitif.

Aziah dalam penghakiman 15 muka juga berkata bahawa penyelesaian boleh diperoleh di mahkamah jenayah itu semasa proses perbicaraan.

"Keputusan terakhir sama ada atau tidak terdapat fakta berpihak kepada pemohon atau sama ada dua laporan perubatan berpihak kepada pemohon akan dibuat oleh hakim yang membicarakan.

"Hak pemohon terhadap perbicaraan yang adil tidak menjejaskan kenyataan bertulis itu," tegas Aziah.

Azizah bertindak bagi responden sementara peguam Edmund Bon mewakili Anwar.

Bon kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau menunggu arahan Anwar sama ada untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

- Bernama

ADS