Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang penulis blog yang juga ahli PAS mengemukakan aduan kepada ibupejabat PAS hari ini terhadap tiga pemimpin kanan parti itu berhubung isu 'bai'ah ta'lik', isu kalimah Allah, kerajaan perpaduan dan pelanggaran usul muktamar PAS.

NONE Tiga pemimpin PAS yang dinamakan dalam aduan tersebut ialah timbalan presiden, Nasaruddin Mat Isa; timbalan mursyidul am, Datuk Dr Haron Din dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Penulis blog tersebut, Abdul Rahman Abdul Talib yang lebih dikenali sebagai 'Tulang Besi' mengemukakan empat aduan terhadap mereka, dengan mendakwa:

1. Dr Hasan dan Nasaruddin telah mendedahkan rahsia parti berkaitan 'bai'ah ta'lik' kepada penulis blog di kediaman pesuruhjaya PAS Selangor itu.

2. Ahli majlis syura ulama PAS telah meluluskan kertas kerja tulisan Dr Haron bertajuk 'Tahaluf Siyasi: Pasca 2008" yang telah membawa kepada perjumpaan-perjumpaan gelap dengan Umno yang juga telah menyebabkan perpecahan dalam PAS.

3. Dr Haron melanggar keputusan serta pendirian rasmi PAS dalam isu 'kalimah Allah' dengan menghadiri sebuah forum yang dirasmikan oleh ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

4. Dr Hasan telah menyebarkan fitnah dan penipuan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, justeru melanggar usul muktamar PAS di Shah Alam dan Ipoh.

Tulang Besi yang baru tiba dari Indonesia berkata, beliau menyerahkan empat aduan tersebut bersama-sama sekeping cakera padat yang mengandungi bukti berbentuk audio berhubung salahlaku pemimpin kanan PAS tersebut.

Aduan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Kerja PAS Pusat, Abdul Rahim Saidin di pejabat parti itu kira-kira jam 10.45 pagi ini.

Dalam sidang media selepas menyerahkan aduan tersebut, beliau berharap dengan aduan tersebut, pihak PAS membuat siasatan dan mengambil tindakan yang tegas.

"Tanggungjawab untuk menjaga parti daripada dilanda masalah displin terletak kepada semua orang, tidak hanya terletak kepada orang bawah sahaja. Kalau orang bawah boleh displin, orang atas kena lebih displin," katanya.

Abdul Rahman berkata perjumpaan Dr Hasan dan Nasaruddin dengan penulis blog dari Umno dan PAS di kediaman pesuruhjaya PAS Selangor itu, berlangsung pada 25 Oktober tahun lalu.

Dalam pertemuan tersebut, mereka didakwa mendedahkan rahsia parti berhubung bai'ah ta'lik kepada penulis blog tersebut.

Bai'ah adalah sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika calon-calon PAS yang menang mengkhianati parti - bagi mengelakkan risiko mereka lompat parti.

Tulang Besi juga dilaporkan sebelum ini menyiarkan rakaman audio tersebut di dalam blognya, November tahun lalu.

Mengulas mengenai aduan kedua, Abdul Rahman mendakwa keputusan Majlis Syura Ulama pada 24 April 2008 yang meluluskan kertas kerja yang ditulis Dr Haron Din itu.

Katanya kertas kerja tersebut adalah "satu titik tolak pepecahan dalam PAS" yang mencadangkan supaya "mengadakan perbincangan dengan Umno".

Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, keputusan tersebut melanggar perlembagaan parti kerana "Majlis Syura Ulama tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan seperti itu" dan " tidak pernah dirujuk kepada jawatankuasa kerja PAS Pusat".

"Keputusan itu tidak mewakili Majlis Syura Ulama. Setakat yang dimaklumkan kepada saya, tidak ada minit mesyuarat. Mungkin ia hanya perbincangan biasa... Ia tidak dibincang dalam mesyuarat ahli jawatankuasa PAS Pusat," katanya.

NONE Mengulas mengenai tindakan Dr Haron yang menyertai sebuah forum yang dianjurkan oleh 30 NGO berhubung isu 'Kalimah Allah', Abdul Rahman berkata tindakan tokoh agama itu telah "melanggar pendirian rasmi PAS tentang isu kalimah Allah yang diputuskan pada 5 Januari lalu".

Dalam aduannya, Abdul Rahman menyifatkan kehadiran bekas ahli panel Forum Perdana Islam itu dalam forum tertutup yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 13 Januari lalu adalah "satu bentuk sokongan yang jelas kepada keputusan NGO" yang menyatakan penggunaan kalimah itu adalah hak eksklusif orang Islam sahaja.

Berhubung aduan keempat, Dr Hasan didakwa menyebarkan fitnah tentang Pakatan Rakyat di Selangor, dalam pertemuannya dengan penulis blog Umno dan PAS pada 25 Oktober itu.

Dalam aduannya, Abdul Rahman memberi contoh fitnah yang disebarkan adalah berhubung isu projek "Plug And Play" di Selangor.

Berdasarkan rakaman audio itu, Abdul Rahman mendakwa Hasan Ali menyatakan tiada elemen dan kepentingan bumiputera dan Melayu sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melaksanakan projek ini.

"Tindakan Dr Hasan jika tidak dibendung, akan berlaku pepecahan (dalam Pakatan Rakyat)," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menerima sebarang tindakan displin berhubung pendedahan berani ini, Abdul Rahman berkata:

"Saya sanggup menerima apa-apa risiko. Saya berpihak kepada kebenaran dan saya ada bukti. Parti harus dijaga. Saya tidak takut".

Abdul Rahman berkata beberapa aduan berhubung perkara tersebut sebelum ini pernah dikemukakan kepada pejabat agung PAS dan jawatankuasa displin parti melalui emel sejak November lalu.

Bagaimanapun tidak ada maklum balas berhubung aduan beliau itu, tambahnya.

 

ADS