BERITA Malaysiakini

Kes cerai: ADUN Pelabuhan Klang bela diri sendiri

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini menetapkan 28 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan permohonan cerai secara fasakh yang difailkan oleh Ramizah Mazlan, isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah.

    

NONE Hakim Syarie Abdul Malik Soleh menetapkan tarikh itu setelah diminta oleh peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Ramizah.

    

Ahmad Nazib berkata pembelaan terhadap tuntutan fasakh oleh Badrul, 50, yang difailkan di mahkamah pada 15 April dan diterima pihaknya pada 19 April lepas tidak menjawab tuntutan fasakh yang dikemukakan oleh Ramizah, 39.

    

Oleh itu, beliau berkata pihak plaintif tidak perlu menjawab jawapan yang diberikan oleh Badrul dan terus memohon satu tarikh perbicaraan.

   

Abdul Malik mengesyorkan kepada Badrul supaya beliau mengambil khidmatpeguam bela dalam perbicaraan itu tetapi defendan memilih untuk membela dirinya sendiri di dalam perbicaraan itu nanti.

    

Badrul berkata: "Ini kisah suami isteri saya tidak perlu peguam. Pada pandangan saya ini adalah terlalu peribadi".

    

Bagaimanapun, Abdul Malik berkata biarpun Badrul merasakan beliau di  pihak yang benar tetapi jika beliau tidak mampu menyampaikan kebenaran itu dengan baik mungkin adalah sukar baginya membuktikan kebenaran itu.

    

Dalam prosiding hari ini Badrul datang tanpa peguam manakala Ramizah tidak hadir dan diwakili oleh Ahmad Nazib.

    

Badrul dan Ramizah bernikah pada 31 Julai 1993 dan mereka dikurniakan lima cahaya mata.

    

Badrul yang dahulunya ADUN PKR kini menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Barisan Nasional selepas beliau keluar daripada parti itu pada 29 Okt tahun lepas.

    

Pada sebutan pertama kes itu pada 22 Februari  lepas, Abdul Malik telah meminta Badrul mengemukakan pembelaan beliau dan melantik seorang peguam bagi mengendalikan tuntutan cerai fasakh yang dimohon oleh isterinya di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

- Bernama