Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peruntukan RM18 juta disalurkan kepada 65 sekolah Cina dan dua sekolah mubaligh di Sibu bagi pembangunan sekolah berkenaan.

NONE Bantuan itu diumum dan disampaikankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri majlis ramah mesra Persatuan Sekolah Persendirian Cina Sibu dan Persatuan Sekolah Rendah Bantuan Cina Sibu, di Sibu, petang tadi.

Bantuan itu membabitkan RM10 juta untuk semua 60 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) di Sibu, lima sekolah menengah persendirian Cina Sibu (RM5 juta), Sekolah Kebangsaan St Mary Sibu (RM1 juta) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart Sibu (RM2 juta).

Semasa berucap kepada lebih 3,000 warga pendidik Cina pada perhimpunan di Sibu, Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti menjadi 'rakan tulen' sekolah Cina di negara ini demi memastikan semua kaum dan rakyat mendapat pendidikan yang saksama dan berkualiti.

NONE Katanya, berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu mencerca setiap usaha kerajaan meningkatkan mutu pendidikan negara, kerajaan BN mengotakan setiap janji yang dibuat.

"Kerajaan BN adalah sahabat sejati pendidikan sekolah Cina," katanya.

Menurut beliau adalah satu hakikat bahawa masyarakat itu amat menghargai pendidikan dan sanggup berkorban semuanya untuk itu.

"Tetapi pada masa yang sama, anda akan perlukan bantuan kerajaan untuk pendidikan," katanya.

NONE Mengimbas kembali ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan, Najib berkata beliau telah mengambil "risiko politik" apabila beliau mencadangkan Akta Pendidikan dipinda untuk membolehkan sekolah rendah Cina ditukarkan menjadi sekolah jenis kebangsaan.

Beliau berkata pada masa itu beliau merasakan keadaan itu boleh membawa "nahas" kepada kedudukannya kerana isu berkaitan pendidikan sekolah Cina telah berlarutan sejak sekian lama dan tidak berjaya diselesaikan oleh beberapa menteri pendidikan sebelum itu, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini Ketua Pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

NONE Oleh kerana Anwar juga aktif berkempen bagi calon DAP dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu, Najib mencadangkan masyarakat Cina di Sibu bertanyakan kepadanya apakah sumbangan beliau (Anwar) terhadap pendidikan sekolah Cina.

Beliau berkata sebagai perdana menteri, beliau mahu memberikan khidmat yang terbaik dan juga mahu kerajaan melaksanakan yang terbaik untuk penduduk di Sibu.

Namun, katanya kerajaan dalam melakukan semua usaha itu juga pada masa yang sama memerlukan sokongan rakyat dalam menjayakannya.   

Festival Tua Pek Kong

Sementara itu, malam ini, Bernama melaporkan, perdana menteri menyaksikan perarakan Festival Tua Pek Kong di Temple Street di Sibu.

Beliau turut meluangkan masa seketika di Tokong Tua Pek Kong, yang juga dikenali sebagai Tokong Eng Ann Teng Tua Pek Kong Sibu. Turut hadir beberapa menteri persekutuan dan menteri kabinet negeri.

   

Ribuan orang berhimpun di Temple Street sejak pukul 6 petang bagi menyaksikan perarakan itu yang mengelilingi bandar Sibu.

   

Sejumlah 120 pasukan dengan 6,000 peserta dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Indonesia menyertai perarakan yang menyaksikan kenderaan berhiasan, Tarian  Singa dan Naga serta persembahan kebudayaan Cina.

Tokong Tua Pek Kong, yang terletak di Sungai Rajang, merupakan mercu tanda bandar Sibu dengan pagoda setinggi tujuh tingkat.

   

Tokong itu hanyalah sebuah tokong Cina kecil di Sibu pada awal 1870-an dan ia dibina semula menjadi sebuah tokong dengan reka bentuk lazim Cina dan berbumbung genting, berlantai batu dan kayu alang berukir, diimport dari China pada 1897.

   

Pada 1987, ia digantikan dengan pagoda setinggi tujuh tingkat untuk upacara sembahyang "Goddess of Mercy". 

ADS