Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Karpal dibebas daripada tuduhan menghasut
Diterbitkan:  Jun 11, 2010 8:16 AM
Dikemaskini: 9:32 AM

Ahli parlimen veteran DAP, Karpal Singh hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan menghasut selepas pihak pendakwa gagal membuktikan prima facie.

Karpal menghadapi tuduhan menghasut berhubung kandungan sidang akhbarnya pada 6 Februari 2009, di mana beliau berkata  tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Sultan Perak atas peranannya dalam krisis perlembagaan negeri tersebut pada 2009.

Hakim Azman Abdullah berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie untuk memanggil tertuduh bagi membela diri.

   

Katanya pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kenyataan Karpal Singh telah menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap Sultan Perak.

   

Azman berkata apa yang pihak pendakwaan perlu buktikan dalam kes itu ialah kenyataan tersebut mempunyai "kecenderungan menghasut" dalam mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan seperti dalam peruntukan Seksyen 3(1) Akta  Hasutan 1948.

   

Beliau berkata pendakwaan hanya membuktikan kejadian selepas solat Jumaat di Masjid Ubuddiah adalah satu tunjuk perasaan sedangkan orang ramai hanya mengetahui tentang kenyataan Karpal melalui berita yang disiarkan pada jam 6 petang dan 9 malam pada hari tersebut.

   

Lagipun, katanya, saksi-saksi pendakwaan terutamanya Pengarah Jabatan Penguatkuasa Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Mazlan Othman hanya memberikan keterangan secara lisan dan tidak ada satu dokumen pun dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk menyokong kenyataan Karpal Singh menyebabkan timbulnya komen-komen di laman blog tentang tindakan Sultan.

   

Azman juga berkata tidak ada satu dokumen dikemukakan untuk menyokong keterangan Mazlan bagi mengaitkan kenyataan Karpal Singh dengan apa yang terkandung dalam laman web Kerajaan Negeri Perak.

   

Hakim juga berpendapat keterangan pegawai penyiasat, ASP Suhaimi Mohamad, sendiri bahawa sebanyak 103 laporan polis dibuat ekoran kenyataan Karpal adalah lebih kepada untuk menunjukkan kemarahan dan kebencian  pengadu terhadap tertuduh dan bukan terhadap Sultan Perak.

   

Pada 17 Mac tahun lepas, Karpal Singh, yang juga Pengerusi DAP, minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan  berunsur hasutan pada sidang akhbar mengenai Sultan Perak di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama, di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari 6 Februari.

   

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

   

Azman dalam penghakimannya juga berkata hujah pihak pendakwaan bahawa Karpal Singh tidak sepatutnya membuat kenyataan  sedemikian yang meliputi isu undang-undang yang sukar difahami oleh pemberita-pemberita yang membuat liputan tidak boleh diterima sebagai asas untuk mempersalahkan  tertuduh.

"Hujahan pendakwaan ini seolah-oleh memberi gambaran bahawa jika difahami sebenarnya maksud kenyataan akhbar tertuduh, ianya tidak akan terjumlah kepada suatu yang menghasut atau buruk yang  hendak disampaikan," kata hakim.

   

Azman juga menjelaskan bahawa tertuduh telah memberikan pendapatnya dengan merujuk kepada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak dan nas undang-undang yang mana kesemua itu telah dibekalkan kepada pemberita yang hadir.

   

Malah, kata hakim, video kenyataan akhbar dan transkrip yang dikemukakan tidak terdapat kenyataan menghasut oleh  Karpal tetapi hakim itu berkata Karpal hanya menyebut: "Saya ingin menjelaskan, bahawa ini bukan soal peribadi. Ini adalah soal perlembagaan dan saya rasa ia harus dihormati oleh semua pihak termasuk Raja."

   

Sebaik sahaja Azman membacakan penghakimannya, ahli keluarga Karpal serta pemimpin DAP menepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada Karpal yang hanya senyum di kerusi rodanya.

   

Karpal Singh memberitahu pemberita beliau gembira dengan keputusan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noreen Badaruddin berkata beliau akan merujuk keputusan mahkamah hari ini kepada Pejabat Peguam Negara, sama ada untuk merayu atau tidak.

   

- Bernama