Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Saya tak janji ketepikan tindakan afirmatif
Diterbitkan:  Jun 29, 2010 10:24 AM
Dikemaskini: 4:52 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak berjanji untuk mengetepikan tindakan afirmatif berhubung langkah membantu orang Melayu dan Bumiputera bila beliau memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) untuk Malaysia.

azlan “Saya tidak berjanji mengetepikannya. Saya menjanjikan satu pendekatan baru," kata beliau dalam temubual eksklusif dengan Channel News Asia (CNA) yang berpangkalan di Singapura dan disiarkan di republik itu malam semalam.

Najib berkata idea keseluruhan MEB adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat adil dan saksama, dan model ekonomi ini secara praktikalnya telah diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Soalnya sekarang ialah bagaimana hendak membawa rakyat Malaysia ke matlamat itu dan bagaimana mereka hendak mencapainya, katanya kepada ketua biro CNA bagi Malaysia, Melissa Goh yang mengendalikan temubual itu di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata, "Kami mahu sampai ke sana tetapi perlu menerusi laluan lain".

Mesra pasaran

Oleh itu, kata Najib tindakan affirmatif di bawah MEB akan lebih berasaskan kepada mesra pasaran, lebih berasaskan merit, lebih telus dan berdasarkan keperluan.

    

Beliau berkata terdapat kekayaan yang mencukupi, ruang dan kebebasan yang luas di negaranya bagi rakyat Malaysia menikmati manfaat dari dasar-dasar kerajaan.

Ditanya bila kerajaan berkemungkinan berhenti memberi subsidi, Najib berkata kerajaan perlu memperhalusinya terlebih dulu sebelum ia dapat memansuhkannya secara beransur.

“Saya gunakan perkataan 'beransur' kerana kita memerlukan penerimaan rakyat kerana subsidi adalah isu cukup sensitif," kata beliau, dan menambah bahawa kerajaan perlu meyakinkan masyarakat Malaysia bahawa ini adalah baik untuk mereka pada jangka panjang.

“Cuma masalahnya ialah mereka terlalu melihat kepada faedah jangka pendek, mereka tidak melihat kepada faedah jangkah panjang," kata Najib.

Perdana Menteri berkata isu subsidi banyak bergantung pada penerimaan rakyat, dan juga kerajaan perlu mengadakan sesuatu jaringan keselamatan sosial bagi mereka yang miskin atau kumpulan yang lemah.

Kejayaan besar

“Jadi kami sedang merancangkannya tetapi saya tidak berjanji menghapuskan subsidi serta merta," ujar Najib.

azlan Mengenai hubungan bilateral yang begitu mesra dengan Singapura baru-baru ini dan penyelesaian isu tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang sudah lama berlarutan di Singapura, Najib berkata penyelesaian tanah KTM adalah satu kejayaan besar oleh kerana ia pernah dikatakan oleh sesetengah orang sebagai "duri dalam hubungan kita, yang terbiar tanpa penyelesaian selama hampir 20 tahun".   

“Saya memutuskan kita perlu menumpukan fikiran kepadanya dan menyelesaikan satu isu bilateral besar yang berlarutan kerana ia akan memberikan kita tapak yang kukuh," kata Najib, dan menambah ini adalah isyarat kepada rakyat Malaysia dan juga Singapura bahawa mereka mahu bergerak ke depan, serta memperkukuh hubungan yang sedia wujud.

Perdana Menteri berkata, “Kita tidak harus emosional, kita tidak perlu terus menggalas beban tetapi bergerak ke depan, dan dengan rasa yakin, kita dapat mengambil manfaat dari semangat baru ini dari segi hubungan dua hala".

- Bernama

ADS