Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Bajet 2011 tetapkan rentak transformasi ekonomi
Diterbitkan:  Jul 6, 2010 11:47 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Bajet 2011, yang akan dibentangkan pada 15 Oktober, menetapkan rentak transformasi ekonomi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

NONE "Ini akan dicapai melalui empat tonggak agenda transformasi negara, iaitu Konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10), katanya semasa berucap di Perundingan Bajet 2011 di Putrajaya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata bajet kali ini akan mengaktifkan Lima Teras Strategik yang digariskan di dalam RMK10.

"Ini melibatkan mentransformasikan Malaysia menggunakan kaedah Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA), meningkatkan pertumbuhan ekonomi, yang merangkumi pembangunan sosio ekonomi, memajukan dan mengekalkan asas bakat dunia pertama serta meningkatkan kualiti kehidupan," katanya.

Untuk mencapai sasaran pertumbuhan itu, Najib berkata sektor swasta akan menjadi pemacu utama manakala kerajaan memainkan peranan pemudahcara.

"Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan, di dalam semangat 1Malaysia, untuk merangsang ekonomi negara."

"Masalah semasa tidak dapat diselesaikan menggunakan pendekatan lama. Kita perlukan strategi yang berani, kreatif, inovatif dan kompetitif untuk membawa kita ke paras pembangunan lebih tinggi.

"Kita perlu mengubah cara kita berfikir untuk mendapatkan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kita. Satu perubahan cara berfikir perlu dilakukan."

Najib berkata tema Perundingan Bajet tahun ini ialah Bersama Berusaha Mencapai Ekonomi Berpendapatan Tinggi.

"Kita telah berjaya mengharungi krisis ekonomi. kita tidak akan berjaya tanpa keyakinan sektor swasta dan usaha anggota perkhidmatan awam melaksanakan pakej rangsangan serta sokongan rakyat."

"Marilah kita berusaha lebih gigih dan bersama-sama memacu negara ini ke paras pertumbuhan lebih tinggi dan kemakmuran. Kita telah berjaya melaksanakannya sebelum ini dan saya berkeyakinan kita akan berjaya melakukannya sekali lagi dan dengan hasil yang lebih baik."

Proses perundingan bajet ini bermula dengan permintaan bagi mendapatkan memorandum dari komuniti perniagaan, NGO, badan profesional, akademia dan kumpulan pemikir untuk mendapatkan pandangan masing-masing.

Najib berkata kementeriannya telah menerima 64 memorandum yang meliputi pelbagai spektrum makro, sektor dan isu sosial yang meluas.

- Bernama

ADS