Harakah tengah hari ini baru menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penghantaran setiap salinan akhbar PAS itu.
"Ia dihantar melalui budak penghantar, kata pemangku ketua pengarangnya Taufek Yahya.
Surat tersebut dialamatkan daripada pengarah urusan Harakah Datuk Kamaruddin Jaafar.
"Bagaimanapun tarikh pada surat itu pada 7 Julai (semalam)," kata Taufek kepada Malaysiakini petang ini.
Katanya, selain alasan gagal menghantar salinan naskhah, dalam surat itu, KDN juga mendakwa akhbar tersebut diedar dan dijual kepada bukan ahli di premis terbuka.
Sebelum itu, awal tengah hari tadi, Harakah menyatakan 'kehairanannya' dengan tindakan KDN yang mahukan penjelasan berhubung penghantaran salinan akhbar itu sedangkan "tiada surat tunjuk sebab dihantar" pada masa itu.
Sehubungan itu, Taufek berkata, pihaknya sedang cuba menghubungi pegawai di kementerian berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut.
"Surat (tunjuk sebab) pun tidak ada, hendak jawap macam mana?" soal Taufek kembali ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengabaikan arahan kementerian itu.
KDN hari ini dilaporkan memberi tempoh tujuh hari mulai kelmarin kepada Harakah bagi menjawab surat tunjuk sebab berhubung pelbagai isu berkaitan syarat penerbitan, termasuk kegagalan menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran akhbar itu.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam dipetik berkata kegagalan akhbar itu menjelaskannya dengan memuaskan boleh menyebabkan permohonan permit penerbitannya yang tamat semalam menemui masalah.
Beliau dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab itu diserahkan kepada Taufek, yang diarah menghadiri sesi pertemuan dengan pegawai KDN di kementerian itu, Isnin lalu.
Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Taufek berkata beliau kesal dengan kenyataan Mahmood itu kerana ia didakwa tidak benar.
"Kita tidak gagal hantar, cuma lewat (hantar)," katanya sambil mendakwa isu permit juga tidak disentuh langsung dalam pertemuannya dengan KDN awal minggu ini.
"Dia (Mahmood) sendiri tidak hadir dalam pertemuan hari itu."
Kelmarin, portal berita KDN melaporkan, Harakah dipanggil ke Putrajaya, bagi " diperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN".
Akhbar itu dilaporkan diminta mematuhi garis panduan pemberian permit, antaranya seperti kewajipan menghantar naskhah akhbar sebaik selesai dicetak.
Portal kementeriaan itu juga melaporkan tiada sebarang perbincangan mengenai artikel yang dimuatkan dalam Harakah.
Bagaimanapun Taufek pula mendakwa , dalam pertemuan itu, Harakah diminta "lebih berhati-hati' terutama ketika melaporkan "isu-isu sensitif" seperti isu lesen judi sukan, isu Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) dan isu Jemaah Islamiah.