Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan: Siapa yang makan cili dia terasa pedas
Diterbitkan:  Oct 9, 2010 3:25 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata teguran beliau terhadap Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno sebelum ini lebih daripada teguran seorang bapa kepada anak-anaknya.

NONE Katanya, adalah tidak adil untuk menakrifkan kenyataan beliau sebagai ''sweeping statement'' kerana pihak pengurusan lebih tahu apa yang berlaku di setiap bahagian dan sayap.

"Saya Setiausaha dia. Saya Setiausaha Pemuda, Wanita dan Puteri. Saya nasihat sebagai bapa kepada anak. Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas, itu sahajalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat dan Kenduri Bahasa sempena sambutan bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Putrajaya 2010, hari ini.

Berita Harian semalam melaporkan bahawa Tengku Adnan, sedih dengan pergerakan Pemuda dan Puteri yang dianggapnya seperti tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.

Sangat sedih

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin Katanya, masalah itu berpunca apabila mereka yang bertanding merebut jawatan dalam kedua-dua pergerakan itu mempunyai matlamat mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Saya sangat sedih dengan Pemuda, mereka ini tidak faham mengenai perjuangan parti kerana mereka tidak datang daripada bawah.

“Mereka ingat apabila sudah mendapat jawatan dalam parti, mereka boleh mendapat tempat dalam kerajaan. Mereka ghairah untuk mendapat jawatan.

“Begitu juga dengan Puteri yang menghadapi masalah sama,” kata setiausaha agung Umno itu.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada jamuan hari Raya yang dianjurkan bersama oleh Wanita Umno, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur semalam berkata pihaknya berang dengan kenyataan Tengku Adnan itu.

Menurut Rosnah beliau sedih dengan bidasan dan akan menimbulkan rasa tidak puas hati mereka pada mesyuarat majlis tertinggi Umno yang akan datang.

Katanya, adalah tidak adil bagi Tengku Adnan membuat kenyataan umum seumpama itu sedangkan hakikatnya ahli Pemuda dan Puteri melakukan apa yang terdaya mereka untuk parti dan kerajaan.

"Ramai di akar umbi bertungkus lumus siang dan malam, membantu parti dan kerajaan, antaranya menjalankan aktiviti politik. Pemuda mempunyai 700,000 ahli manakala Puteri pula mempunyai sekitar 340,000.

Tidak harus dikeluarkan

"Mustahil semua mereka yang memilih Umno dan BN mementingkan jawatan,” kata Rosmah.

NONE Selain Rosnah, ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan itu dan mengatakan ia tidak seharusnya dikeluarkan di media.

Tengku Adnan bagaimanapun berkata kenyataan yang beliau keluarkan itu hanya sebagai menjawab soalan pemberita.

PM jumpa Ku Li

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen, Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Isnin ini di Parlimen untuk membincangkan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Katanya, pertemuan itu nanti akan turut membincangkan mengenai strategi yang akan digunakan bagi memenangi kerusi tersebut setelah Tengku Razaleigh menyatakan persetujuannya untuk menjadi Pengarah Pilihan Raya BN.

tengku razaleigh hamzah "Saya mengucapkan terima kasih kepada Tengku Razaleigh Hamzah (kerana menerima pelantikan tersebut) dan kita akan aturkan satu pertemuan antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden parti untuk mereka berbincang," katanya.

Tengku Razaleigh pagi ini mengesahkan menerima pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Galas sebaik tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Bagaimanapun beliau berkata cadangan untuk menamakan beliau sebagai calon perlu dibincangkan dengan Najib yang juga pengerusi BN terlebih dahulu.

ADS