Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan mungkin dalam hala menyerahkan ekonomi negara ini kepada sektor swasta tetapi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keraguannya.

Ditanya pandangannya berhubung Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dipacu oleh sektor swasta, Dr Mahathir berkata ia tidak seharusnya diserahkan semata-matanya kepada mereka kerana matlamat sektor swasta adalah hanya untuk mendapatkan keuntungan.

NONE "Pasaran bebas adalah umpama agama iaitu tidak ada sesiapa yang boleh mempersoalkannya, meskipun ia gagal.

"(Sektor swasta) akan mewujudkan pelbagai dana bagi mengelakkan pelbagai halangan dan kecuali kerajaan memantau ini dan mengehadkan peranan sektor swasta, mereka akan cuba melarikan diri daripada peraturan,” kata Dr Mahathir.

Mahathir bercakap kepada pemberita  selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di Kuala Lumpur hari ini yang dihadiri 200 perwakilan, termasuk dari majlis pemerintah tradisional Nigeria.

Sepanjang 22 tahun pemerintahanya, beliau banyak menswastakan projek-projek kerajaan dengan dakwaan ‘kerjaan tahu apa yang terbaik’.

Antara projek berkenaan adalah projek keluli yang menyaksikan hasil negatif.

Sebagai kontras, Najib dengan lantang mengumumkan bahawa ‘hari-hari kerajaan tahu apa yang terbaik’ sudah berakhir dan bercadang memperkenalkan pembaharuan bagi melonggarkan beberapa sekatan dalam perniagaan di Malaysia agar ia merancakkan usaha negara mencapai penduduk berpendapatan tinggi.

BN boleh menang di Galas, Batu Sapi

Mengulas peluang BN pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Galas dan kawasan Parlimen Batu Sapi, Dr Mahathir berkata BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi berikutan masalah dalaman yang dihadapi pembangkang.

"Saya fikir BN mempunyai peluang cerah kerana prestasi pembangkang tidak berapa baik sangat. Kini mereka berkelahi sesama sendiri dan sebagainya. Jika mereka menang dan menjadi kerajaan, ia akan menjadi bencana kepada negara," katanya.

Ditanya tentang kritikan terhadap calon PAS di Galas, Dr Zulkefli Mohamed yang dikatakan tidak dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat kerana gemuk, Dr Mahathir berkata keadaan fizikal bukan perkaranya.

"Saya tidak fikir berat badannya sesuatu yang perlu kita ambil kira. Perkara yang lebih penting ialah dia mewakili parti yang tidak mempunyai kredibiliti," kata beliau.

Calon BN, Ab Aziz Yusoff akan menentang Dr Zulkefli sementara di Batu Sapi, calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin akan menentang calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR, Ansari Abdullah.

Kedua-dua pilihan raya diadakan serentak Khamis ini.

Dinar emas

NONE Sementara itu, Dr Mahathir juga mengulangi gesaannya supaya kerajaan menimbangkan penggunaan dinar emas bagi menghentikan perang mata wang.

"Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, akan ada perang mata wang dan sudah tentu, akan menyumbang kepada krisis," katanya.

Dr Mahathir berkata emas mempunyai nilai intrinsik dan oleh itu merupakan nilai yang lebih baik berbanding mata wang.

"Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa," kata beliau.

Mengenai perbankan Islam, Dr Mahathir berkata institusi kewangan perlu berhati-hati semasa memperkenalkan produk baharu dan tidak mengadakan apa yang telah ditawarkan oleh bank-bank konvensional.

Beliau berkata institusi kewangan Islam seharusnya mematuhi prinsip perbankan Islam walaupun terdapat peluang untuk mereka mengambil alih tanggungjawab perbankan konvensional.

ADS