Berita Malaysiakini

Si sepet, si kaki botol, pegawai rasis digantung

S Pathmawathy  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husin yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman telah dihukum, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

NONE Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata penolong pengarah BTN itu telah digantung tugasnya pada 6 Oktober lalu serta diberikan surat amaran.

Nazri bagaimanapun tidak menjelaskan durasi atau tempoh penggantungan berkenaan.

Beliau menjawap soalan daripada Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu jumlah kakitangan awam yang dikenakan tindakan disipilin kerana bersikap rasis semasa menjalankan tugas mereka.

Pada perjumpaan tertutup majlis anjuran Puteri Umno pada 27 Sept lalu, Hamim dilapor merujuk masyarakat Cina sebagai si sepet mata dan masyarakat India pula sebagai si kaki botol.

Jemaah menteri kemudian mengarahkan siasatan dijalankan.

Selain Hamim, Nazri berkata kerajaan juga telah bertindak ke atas dua pengetua - di Kulaijaya, Johor dan Bukit Selambau, Kedah - kerana kesalahan yang hampir sama.

NONE Kedua-dua pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra di Johor, Siti Aishah Mansor, dan pengetua SMK Bukit Selambau (SMKBS), Sungai Petani di Kedah, Ungku Aznan Ungku Ismail juga digantung jawatan mereka. Mereka kini ditugaskan menjalankan kerja-kerja pejabat di jabatan pelajaran di negeri masing-masing.

"Kedua-dua pegawai telah digantung daripada menjalankan tugas, dan masing-masing ditempatkan di Jabatan Pelajaran Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda Kedah berkuatkuasa 23 Ogos lalu," katanya.

Menurut Nazri, ketiga-tiga kes itu adalah kesalahan pertama seumpama itu yang dilaporkan kepada kerajaan.

“Namun kerajaan tetap komited dan memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil ke atas mereka yang terbabit mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Disiplin) 1993,” katanya.

Jelasnya, siasatan ke atas pengetua berkenaan dan hukuman yang diambil itu adalah selaras dengan peruntukkan peraturan.

Menyentuh kes pengetua di Johor, katanya prosiding tatatertib telah diambil berdasarkan peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 dengan surat pertuduhan telah dikemukakan kepada pengetua itu untuk membuat representasi membela diri dalam tempoh 21 hari.

   

"Setelah pegawai mengemukakan representasi bertulis, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan Satu akan bersidang dan memutuskan hukuman tatatertib terhadap pegawai jika didapati bersalah," katanya.

Nazri berkata kerajaan amat komited untuk membendung perbuatan itu dan memberi jaminan akan mengenakan siasatan dan mengambil tindakan kepada pegawai-pegawai terlibat berasaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang

berkuatkuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata penjawat awam yang terlepas cakap atau celupar tidak boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tidak mempunyai niat untuk menghasut.

"Tapi dalam keadaan yang berlaku hari ini mereka tiada niat untuk menghasut, tapi mereka telah celupar bercakap sesuatu yang tidak sepatutnya mereka kata," katanya.

Menjawab soalan tambahan Wee sama ada kerajaan berhasrat mengenakan tindakan lebih tegas termasuk menggunakan Akta ISA kepada penjawat awam yang melakukan kesalahan sedemikian.

Nazri juga berkata kerajaan hanya boleh mengambil tindakan berdasarkan peraturan yang dibenarkan untuk menghukum penjawat awam.

"Ini bukan bermakna bahawa kerajaan tidak mahu ambil tindakan lebih. Cuma peraturan itu tidak membenarkan kita mengambil tindakan lebih daripada apa yang telah kita ambil," kata beliau.

[Baca berita penuh]