BERITA Malaysiakini

PAS dakwa surau Al Falah cuba diroboh kerana politik

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS Lembah Pantai tidak menolak usaha pihak kerajaan hendak meroboh surau Al Falah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur kerana unsur-unsur politik kepartian yang dibawa oleh Umno dan dikatakan gagal untuk menguasai surau tersebut, lapor Harakahdaily .

Yang Dipertua Pas Lembah Pantai, Adlin Soleh berkata, pihaknya percaya cadangan untuk merobohkan surau Al Falah timbul berikutan rasa tidak senang pemimpin Umno selepas gagal menguasai surau tersebut melalui usaha Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mahu menubuhkan 'Muafakat Masjid dan Surau Lembah Pantai'.

 

surau madrasah al falah kg kerinchi Sehubungan itu kata Adlin, PAS Lembah Pantai memberi amaran kepada Umno dan BN untuk berhadapan dengan kemarahan daripada rakyat khususnya pada pilihan raya akan datang sekiranya usaha meroboh surau itu diteruskan.

"Isu ini perlu ditangani segera atau hadapi tindakan rakyat," katanya.

Sementara itu Pemuda PAS Lembah Pantai  mendakwa ada pengaruh politik dalam arahan perobohan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Ketuanya, Nasaie Ismail, berkata, apabila pihak surau menghantar memorundum dan ingin mengadakan perbincangan dengan Raja Nong Chik yang juga Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, mereka telah diminta hadir ke pejabat Umno Lembah Pantai dengan alasan parti itu akan menjemput wakil DBKL, Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan pihak pemaju bagi berunding bersama.

"PAS mempersoalkan kenapa perlu campur tangan Umno dalam urusan DBKL dan JAWI ini. Jelas ada unsur politik dalam usaha mereka," kata Nasaie.

jasni abdullah, surau madrasah al falah kg kerinchi Selain itu, beliau turut membidas dakwaan yang menuduh surau Al Falah sebagai surau PAS semata-mata hanya kerana ramai penyokong parti itu bersolat di situ.

"Apakah salah orang PAS memenuhi mana-mana masjid atau surau di negara ini sehingga tergamak hendak merobohkannya. Pelik dalam sebuah negara yang pemimpinnya beragama Islam, adanya halangan kepada orang Islam yang berlainan parti politik mereka untuk mengimarahkan masjid," kata beliau.

Isu surau Al Falah timbul apabila DBKL mengeluarkan notis untuk merobohkan surau tersebut bertarikh 10 November lalu untuk tujuan pembangunan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kira-kira 80 ahli kariah surau itu yang bimbang tempat solat mereka akan dirobohkan telah bermalam di situ dan disertai beberapa kumpulan mahasiswa daripada universiti berdekatan.

Penduduk juga telah menghantar memorandum bantahan kepada Raja Nong Chik supaya surau mereka tidak dirobohkan.