Berita Malaysiakini

Parti Barisan Rakyat Sabah (SPF) - parti politik terbaru

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sebuah parti politik baru, Parti Barisan Rakyat Sabah (SPF), telah ditubuhkan di Kota Kinabalu.

Presidennya Berman Angkap yang mengadakan sidang akhbar sebaik tiba dari Kuala Lumpur dengan menyatakan pendirian partinya sebagai parti pembangkang tetapi berkata mereka tidak mempunyai perancangan lagi untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau nampaknya terbuka kepada idea itu dengan berkata "apa yang penting adalah ideologi mereka sama dengan kami".

Berman juga mengumumkan pembubaran Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (Bersekutu) yang diterajuinya yang bergiat sejak 20 tahun lalu walaupun dianggap sebagai “parti nyamuk”.

Beliau berkata SPF, yang didaftar secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 Dis, ditubuhkan bagi memenuhi hasrat rakyat Sabah yang mahukan memulihkan hak negeri.

Beliau berkata parti itu sudah pasti akan bertanding semasa pilihan raya negeri.

"Kita akan menubuhkan bahagian-bahagian di 60 kawasan pilihan raya sebagai persiapan menghadapinya," katanya.

"Kita mensasarkan keanggotaan seramai 50,000 terutama generasi muda. Kita juga berharap 38,000 bekas anggota parti Bersekutu juga akan menyertai parti baru ini,” katanya.

- Bernama