BERITA

Anwar: Saya tak ajak pun PM debat

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Jan 2011, 12:35 tengahari

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" pembangkang sebaliknya hanya mahu berbincang.

Katanya ia adalah perbincangan terbuka secara baik melibatkan pihak Perdana Menteri dan pihaknya yang mewakili Pakatan Pembangkang.

" Ia perbincangan secara baik...kita tengahkan pandangan kita, mereka jawab dan kemukakan pandangan mereka. Tapi mereka tak setuju. Sebelum ini kita ajak menerusi media. Semalam surat menyusul. Respons tak begitu baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi anggota panel Program Bicara Tokoh bertajuk "Maqosid Syariah dan Masyarakat Majmuk" di Kolej Universiti Insaniah di sini hari ini.

Anggota panel yang lain adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Presiden Wadah Pencerdasan Ummah Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Anwar berkata menerusi perbincangan itu, pihak beliau dan pihak Najib akan mengemukakan alasan masing-masing untuk rakyat menilainya.

Katanya beliau memilih untuk berbincang dengan Najib kerana Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada ekonomi.

"Sewaktu perbincangan dia boleh kemukakan program ekonominya seperti ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan yang lain-lain," katanya.

Beliau berkata ia bukanlah sesuatu yang membuang masa kerana ia bertujuan memberi penjelasan kepada rakyat tentang program ekonomi.

--Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.